KUALA KRAI :Berdasarkan statistik terbaru, badan bukan kerajaan (NGO) kini mendahului usaha membina rumah kekal untuk mangsa banjir di Kelantan berbanding kerajaan negeri dan Pusat.

Ini kerana setelah lebih enam bulan banjir teruk yang melanda Kelantan hujung tahun lepas berlalu, pihak berkenaan sudahpun menyiapkan 60 unit rumah untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.

“Sehingga kini kerajaan pusat sudah menyiapkan 11 buah rumah bina kekal manakala 434 masih dalam pembinaan.

“Manakala kerajaan negeri pula sudah menyiapkan 12 unit rumah dan 422 dalam pembinaan sementara NGO pula sudah membina lebih 60 unit rumah,” kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Mustapa memaklumkan angka terkini itu pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kediaman Kekal mangsa banjir di Kampung Telekong Ahad.

Sebanyak 130 unit rumah kekal bakal dibina di kampung berkenaan hasil kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan NGO, iaitu projek perintis pasca banjir di negeri ini.

Menurut Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, Fasa I projek itu membabitkan 20 unit rumah dijangka siap menjelang September ini.

Katanya lagi, kerjasama dalam projek itu amat unik apabila tiga pihak berkenaan memainkan peranan masing-masing dengan kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 12 hektar sementara kerajaan Pusat memperuntukkan RM3.9 juta bagi kos pembinaan kemudahan infrastruktur termasuk jalan, meratakan tanah serta pembinaan longkang.

Manakala NGO yang turut membantu ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menyediakan peruntukkan RM10 juta bagi pembinaan 100 unit rumah serta Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM2 juta bagi membina 30 unit rumah, jelas beliau.

“Justeru itu, nasib kira-kira 101 keluarga yang bakal ditempatkan di kawasan terbabit (Kampung Telekong) dianggap selesai,” kata Mustapa.

Menurut Mustapa lagi, tujuh lagi lokasi lain yang sudah dikenalpasti bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir termasuklah di Chenulang, Simpang Tiga Pulai, Limau Kasturi, Bertam Baru dan Tanah Putih.

Semuanya akan menggunakan pendekatan sama iaitu membabitkan kerjasama tiga pihak.

Pada majlis sama, Mustapa turut merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Kekal kepada tiga penerima pertama daripada 11 pemilik (mangsa banjir) di Kampung Dusun Nyior.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang menjelaskan bahawa mangsa banjir yang tidak memiliki tanah tidak akan diberikan hak milik kekal untuk rumah baharu mereka.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, status hak milik hanya akan dipertimbangkan selepas 10 tahun mangsa banjir terbabit mendiami rumah yang diberi bertujuan mengelakkan kediaman baru itu dijual atau disewa.