Selasa, 16 Jun 2015

Nazri Aziz Silap Besar, Jawatan Kabinetnya Kini Terancam



Tindakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz mengkritik Tuanku Mahkota Johor dengan cara yang dianggap kasar lantaran terlalu ghairah ingin mempertahankan Najib Razak yang sedang diserang dari pelbagai sudut, kini semakin hampir mengundang malang kepada dirinya.

Beliau bukan saja bakal berhadapan dengan siasatan pihak polis, bahkan juga mulai menerima kecaman yang semakin meluas daripada pelbagai pihak.

Pemimpin politik, NGO dan rakyat biasa, tidak saja daripada Johor tetapi nampaknya di seluruh negara turut mengecam tindakan Nazri yang dianggap tidak sopan terhadap teguran baik daripada golongan diraja itu.

Difahamkan juga suatu perhimpunan mengecam tindakan Nazri sambil menyatakan sokongan terhadap TMJ akan turut diadakan petang esok di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Dengan ini, tentulah Nazri akan menerima kesan penolakan yang lebih meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat, tambahan pula beberapa kenyataan dan tindakannya sebelum ini turut membuatkan beliau merupakan antara menteri yang memang menjadi sasaran kebencian ramai.

Sebenarnya sebelum Nazri, seorang lagi pemimpin UMNO iaitu Tajuddin Abdul Rahman, turut mengulas kritikan TMJ mengenai ketidakhadiran Najib dalam forum Nothing2Hide pada 5 Jun lalu, tetapi ia masih dibuat dalam nada yang sopan.

Lantaran itu, reaksi Tajuddin yang mengatakan kritikan TMJ itu hanya menunjukkan seorang saja kerabat diraja yang dilihat tidak menyokong Najib berbanding kerabat  lain yang mungkin memberi sokongan, ia sebaliknya tidak mengundang respon yang berterusan.

Berbeza dengan Nazri,  selain mengingatkan TMJ agar menjauhi politik, perkataan "belasah" yang digunakannya dilihat kasar, keterlaluan dan mempunyai ciri-ciri sombong yang nyata. Perkataan itu, jika diucapkan oleh seorang pemimpin terhadap rakyat marhaen paling miskin sekali pun akan dianggap  jelek dan sombong, apatah lagi kiranya ditujukan kepada TMJ yang merupakan bakal Sultan negeri Johor.

Sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dilantik oleh Najib dan terdengar pula ura-ura rombakan kabinet bakal diadakan tidak lama lagi, ia mungkin antara sebab yang mendorong Nazri bertindak "lebih lajak dari laju" dan berlebih-lebihan dalam menunjukkan sokongannya terhadap Najib.

Tetapi dengan tindakan terbaru TMJ mempertahankan kritikannya terhadap Najib bahawa ia hanya berupa ingatannya kepada pemimpin mengenai tanggungjawab mereka berkhidmat kepada rakyat dan tidak pernah menyuruh sesiapa berundur atau meletakkan jawatan mereka, episod ini dilihat tidak akan berakhir begitu saja.

Sambil TMJ mempertahankan tindakannya itu, rakyat di luar juga menyanjung tinggi sikapnya yang memperlihatkan ciri-ciri prihatin terhadap rakyat.

Sebelum mempertahankan tindakan itu, TMJ juga sudah memberi isyarat "marilah" terhadap Nazri yang dikeluarkan dalam bentuk rakaman video.

Pertelingkahan Nazri dengan TMJ ini tidak dapat tidak pastinya menambahkan lagi pening dan tumbuhnya lebih banyak uban di kepala Najib yang sudah sedia berserabut dalam mendepani serangan serta kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Jika Nazri sebagai salah seorang anggota kabinetnya sekadar berbalah dengan individu ternama lain, barangkali tidak sukar untuk Najib mempertahankannya tetapi bertelingkah dengan kerabat diraja yang bakal mewarisi takhta Sultan Johor bukan sesuatu yang mudah menanganinya.

TMJ nampaknya tetap dengan pendiriannya mempertahankan kritikannya terhadap Najib sambil menyerang balas tindakan Nazri sebagai perbuatan yang sombong dan angkuh oleh seorang pemimpin yang dipilih rakyat.

Apakah Nazri akan membalas lagi kenyataan TMJ itu atau beliau akan berdiam diri berikutan siasatan polis sudah pun dimulakan terhadapnya?

Apa pun reaksi Nazri selepas ini - berdiam diri, membalas lagi atau menunggu hasil siasatan polis terhadapnya, tetapi di sisi Najib, beliau dilihat telah membawa kerosakan dan masalah kepada imej parti dan kerajaan yang sedang dipimpinnya. 

Jika tidak Najib, mungkin Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terpaksa memohon untuk mengadap kepada Istana Johor sebagai langkah penyelesaian seterusnya.

Berbalah dengan Istana Johor, menjadikan dirinya kecaman ramai dan meletakkan kerajaan sebagai bahan cemuhan kerana mempunyai menteri yang dilihat angkuh dan sombong, kedudukan dan nilai diri Nazri sebagai sahabat lama kepada Najib juga makin berkurangan kerana dianggap lebih menyusah daripada menguntungkan.

Dengan itu, hayat politik Nazri mungkin akan berakhir dalam rombakan kabinet selepas Hari Raya nanti kerana Najib tidak mungkin mahu menyimpan terlalu banyak beban dan masalah dalam kerajaan pimpinannya yang sedia rapuh sekarang ini.

Tidak mustahil juga jika Najib  menggugurkannya lebih awal dan dalam waktu yang terdekat ini. 

Tiada ulasan: