Logo Halal Jakim
YAN - Semua pengusaha makanan di negara ini disaran untuk segera
mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal sebelum mempromosikan
Bufet Ramadan di premis masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, permohonan boleh dibuat melalui Majlis Agama Islam Negeri atau
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Di Jakim, kita ada kaunter khusus yang dapat mempercepatkan urusan
permohonan sijil halal sempena Ramadan dan permohonan masih lagi
dibuka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada
masjid-masjid Parlimen Jerai sempena Ramadan, di Masjid Kampung Batu 17,
di sini, hari ini.
Beliau berkata, pengusaha yang menawarkan dan mempromosikan Bufet
Ramadan tanpa memiliki sijil halal boleh diambil tindakan di bawah Akta
Perihal Dagangan 2011.
Jamil Khir berkata, rakyat di negara ini sudah memahami konteks halal
yang mana ia tidak hanya melibatkan bahan yang digunakan tetapi juga
proses pembuatan serta aspek kebersihan sepanjang proses itu dilakukan.
"Apa yang menjadi kebimbangan ialah bukan sahaja dari sudut (premis)
tidak memiliki sijil halal bahkan kita tidak mahu ada tempat (premis)
yang menggantungkan sijil halal palsu.
"Jadi semua pengusaha makanan diingatkan agar tidak mengelirukan orang
Islam dengan menawarkan Bufet Ramadan sedangkan mereka tidak memiliki
sijil halal," katanya.
Terdahulu, pada majlis berkenaan, sebanyak 43 masjid di kawasan
Parlimen Jerai masing-masing menerima sumbangan RM1,000 daripada
kerajaan Persekutuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan tahun
ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan