Isnin, 22 Jun 2015

Lima suspek rompakan Orkim Harmony dipercayai lari ke Batam

 
Bot tunda yang digunakan untuk merompak kapal tangki itu ditemui di Pulau Batam dua hari lalu.


Ahmad-Puzi_Orkim-Harmony_600



PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memburu lima lagi suspek kes rompakan kapal tangki Orkim Harmony pada 11 Jun lalu yang dipercayai telah melarikan diri ke Batam.

Berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh setakat ini, APMM mengesyaki 13 perompak terlibat dalam kes rompakan kapal tangki itu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, pihaknya berjaya menahan lapan orang suspek namun lima suspek berjaya meloloskan diri menggunakan bot tunda yang digunakan untuk merapat kapal itu.

“Pihak Western Fleet Quick Response(WFQR) menemui bot tunda di Batam dua hari lalu dipercayai digunakan untuk merompak kapal Orkim Harmony,” katanya yang mengesahkan kelima-lima suspek terbabit masih bebas.

Menurut Bernama, APMM juga dijangka memulakan proses ekstradisi untuk membawa semua lapan suspek yang terbabit dalam kes rompakan kapal Orkim Harmony.

“Walau bagaimanapun, proses berkenaan akan memakan masa dan tertakluk dengan kerjasama pihak berkuasa Vietnam,” ujarnya.

MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dan 22 anak kapal terputus hubungan di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor 11 Jun lalu.

Kapal itu ditemui semula pada 18 Jun lalu dan kesemua 22 anak kapal dibebaskan dan telah dibawa pulang ke Pelabuhan Kuantan.

Seorang anak kapal dilaporkan cedera selepas terkena kesan tembakan.

Tiada ulasan: