Selasa, 23 Jun 2015

Krisis MIC: Tindakan salahkan Najib untuk sembunyi kelemahan diri – KJ

THE RAKYAT POST

 

TRP-G Palanivel MIC-Azrol
Palanivel pada Sabtu lalu, ketika berucap dalam satu perhimpunan yang dianjur bagi menyatakan sokongan terhadap beliau di PWTC mendakwa, Najib bertindak menyebelahi Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan memberi tekanan kepada parti itu agar mengetepikan keputusan pemilihannya pada 2013. - Foto arkib TRP/ Azrol Ali



KUALA LUMPURDatuk Seri G. Palanivel menuding jari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung krisis yang membelenggu MIC, bagi menyembunyikan kelemahan barisan kepimpinan parti berkenaan.


Ketika menyuarakan pandangannya itu hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Palanivel tidak sepatutnya meletakkan kesalahan di bahu Perdana Menteri, sedangkan MIC yang mempunyai barisan pemimpin lemah.

“Percubaan beliau untuk menyalahkan PM jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan parti itu sendiri.

“Pemuda UMNO berpendapat bahawa Palanivel perlu memikirkan semula tindakannya itu dan melihat kepada kelemahan MIC sendiri yang merupakan sebab bagi pergolakan serta perebutan kuasa dalam parti itu yang jelas tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PM.

“Saya percaya PM mahu menyelesaikan krisis berkenaan secepat yang mungkin demi kebaikan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara, hari ini.

Kata Khairy lagi, masalah sebenar yang dihadapi MIC ialah hilang keyakinan terhadap barisan kepimpinan parti sedia ada.

Menurutnya lagi, Pemuda UMNO pada dasarnya tidak akan mencampuri urusan parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi pada masa sama merasakan tidak wajar juga bagi mana-mana parti komponen BN untuk menyalahkan Perdana Menteri untuk masalah mereka sendiri.

“Kami meminta mereka (MIC) untuk segera menyelesaikan perkara ini, kerana kita mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat India ketika pilihan raya umum (PRU) lalu dan jika krisis mereka tidak diatasi, kita bimbang sokongan itu akan merosot pada PRU akan datang.

“MIC mesti selesaikan perkara ini secepat mungkin berasaskan suara majoriti dalam MIC sendiri dan kami berharap suara majoriti akan akhirnya dapat menyelesaikan krisis dalaman parti itu,” katanya.

Tiada ulasan: