KUALA LUMPUR - MIC hanya perlu menjalankan pemilihan semula menurut nasihat Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi menyelesaikan krisis berkaitan keputusan pemilihan parti yang dijalankan pada penghujung 2013 lalu.
 
Pemangku Presiden, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pemilihan itu perlu dilaksanakan pada penghujung 2016.
 
"Pemilihan yang lalu diadakan pada penghujung tahun 2013. Jadi, dari segi perundangan Perlembagaan parti, jika pemilihan itu (2013) sah, itu bererti pemilihan cuma diperlukan pada penghujung 2016. Iaitu tidak ada sebab untuk mengadakan pemilihan pada masa sekarang.
 
"Sebenarnya apa yang sudah berlaku ialah pemilihan itu telah dimaklumkan kepada RoS bahawa ia tidak sah kerana ada pertikaian dalam prosesnya. Oleh itu, apa yang diperlukan adalah pemilihan semula untuk pemilihan yang dianggap tidak sah itu," katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Khas MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini. 
 
Pada 5 Disember, RoS mengisytiharkan sebagai terbatal dan tidak sah pemilihan bagi tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) yang diadakan semasa perhimpunan agung MIC pada November 2013.
 
RoS menasihati parti itu supaya mengadakan pemilihan semula dalam tempoh 90 hari.
 
Mengulas mengenai tindakan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana menyebelahi RoS yang membatalkan pemilihan parti itu, Subramaniam memberitahu Najib tidak terlibat dengan krisis tersebut.
 
"Sewajarnya pemilihan adalah penyelesaian kepada masalah ini. Ini adalah proses. Dalam proses ini, tidak ada tempoh di mana Perdana Menteri masuk (campur). Cuma Perdana Menteri ada jumpa saya dan Datuk Seri Palanivel bersama Timbalan Perdana Menteri dan Setiausaha Agung BN dua kali iaitu pada 4 Februari dan 18 Februari. 
 
"Beliau beri cadangan supaya selesaikan isu mengikut cadangan RoS. Kita telah setuju termasuk Datuk Seri Palanivel," katanya.
 
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak dua pemohonan semakan kehakiman oleh Palanivel dan empat individu lain yang mencabar arahan RoS supaya mengadakan pemilihan semula parti.
 
Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan bahawa tiada sebab untuk mahkamah campur tangan dalam keputusan RoS memandangkan ia adalah munasabah dan rasional, sejajar dengan Seksyen 16(1) dan Seksyen 18 (b)(1) Akta Pertubuhan 1966.
 
Mahkamah memerintahkan kelima-lima pemohon itu supaya membayar kos berjumlah RM90,000 kepada RoS, Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden, Datuk M. Saravanan, sebagai pencelah dalam permohonan itu.