Rabu, 24 Jun 2015

Kod berpakaian didik ketrampilan dan sivik masyarakat

THE RAKYAT POST


kisah skirt pendek
Tiga kisah wanita yang dikatakan berpakaian tidak sopan dan diminta menutup kaki mereka dengan kain sarung dan tuala. (Kiri) kisah seorang wanita yang diminta memakai kain tuala pesakit ketika melawat bapanya di Hospital Sungai Buloh, (tengah) wartawan NST dan penduduk tidak dibenarkan masuk ke bangunan SUK kerana dikatakan pakaian mereka singkat dan (kanan) Suzanne G L Tan yang diminta memakai kain sarung ketika berurusan di pejabat JPJ. 



KUALA LUMPUR -“Kod berpakaian yang dilaksanakan ini adalah bagi meningkatkan ketrampilan dan sivik masyarakat, bukan untuk memalukan individu tertentu.”


Demikian menurut pengkaji sosial, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @Khalid ketika mengulas mengenai insiden terhadap beberapa individu yang dihalang atau diarahkan memakai sarung kerana berpakaian kurang sesuai ketika berurusan di permis kerajaan.

Dr Kartini yang juga pensyarah di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM menjelaskan, ini bukan persoalan berkenaan agama, sedangkan rekod jenayah seksual di negara Timur Tengah lebih buruk walaupun kebanyakan rakyatnya bertudung dan menutup aurat.

 Namun Dr Kartini berkata, kesan positif daripada berpakaian sopan pasti akan membantu mengurangkan gangguan seksual dan menghindari daripada berlakunya pelbagai anasir negatif yang lain.

“Insiden di Hospital Sungai Buloh telah pun dinyatakan bahawa tiada peraturan hospital mengenai kod berpakaian yang ditetapkan dalam urusan pesakit dan pelawat.

“Namun, kerana menjadi kebiasaan dan kurangnya penguatkuasaan menyebabkan masyarakat kurang peka terhadap kod pemakaian yang sedia wujud sebelum ini.

“Secara sivik, pelawat diminta rasional dengan memakai pakaian yg sopan,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Ujarnya lagi, bukan sahaja di hospital perlu berpakaian sopan, lawatan ke Vatican City di Rome, Italy bagi yang beragama Kristian juga menetapkan kod pemakaian yang sopan dan menutup aurat.

Kod pemakaian ketika berurusan di semua agensi kerajaan sama ada wanita atau lelaki telah ditetapkan bahawa, orang ramai dilarang memakai seluar pendek, skirt pendek dan baju-T tanpa lengan atau tidak dibenarkan masuk ke permis tersebut.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat beliau bersetuju masyarakat harus peka dengan kod pemakaian di tempat awam.

“Kod berpakaian mengelak daripada masyarakat Malaysia bertindak melampau dalam berpakaian, ini mengekang mereka memakai pakaian yang menjolok mata sedangkan di negara barat juga etika berpakaian amat dititik beratkan,

“Kalau masyarakat kita mahu berpakaian santai dengan berseluar pendek untuk ke pusat membeli belah itu tidak mengapa tetapai jika berurusan di pejabat kerajaan perlu memakai baju yang bersesuaian seperti kemeja, bukan baju-T atau seluar pendek,” katanya kepada The Rakyat Post.

Jelasnya, masyarakat perlu menjadi lebih disiplin dan kita perlu mencontohi rakyat di negara maju bukan sahaja dari segi perkembangan ekonomi dan infrastuktur semata-mata tetapi juga etika dan kesedaran sivik yang seiring untuk mencapai tahap negara kelas pertama.

Semalam, wartawan akhbar New Straits Times dan seorang penduduk Klang dihalang memasuki bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor dan diminta memakai kain sarung sebelum dibenarkan masuk.

Insiden ini adalah yang kedua selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikritik pengguna media sosial, kerana menghalang wanita memakai skirt atas paras lutut dan meminta ia ditutup dengan kain batik sebelum dibenarkan berurusan.

Hari ini, tersebar di internet sekeping gambar seorang gadis yang mendakwa terpaksa meminjam kain tuala pesakit untuk melawat bapanya di Hospital Sungai Buloh.


Tiada ulasan: