KUALA LUMPUR - Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang hari ini menegaskan partinya tidak perlu menunggu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk mengumumkan 'pembubaran' PR.

Beliau berkata, PR sudah tidak wujud lagi susulan keputusan Pas dalam muktamar lalu yang meluluskan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

"Dia (Lim Guan Eng) tidak kata pembubaran... kita kata tidak wujud lagi oleh kerana apa yang berlaku, khasnya usul muktamar Pas. Kita kena terima itu dan teruskan perjalanan.

"(Tak tunggu Wan Azizah umum?) Tidak (tunggu)... sudah tidak wujud. Jika satu parti telah luluskan usul, jadi kena hadapilah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Rakyat, hari ini.

Hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan parti itu menerima keputusan Pas dalam muktamar lalu sekali gus menyatakan bahawa PR sudah tidak wujud lagi.

Namun, sehingga hari ini, Majlis Syura Ulama Pas masih belum membuat keputusan berhubung usul muktamar tersebut.

Dalam pada itu, ketika ditanya kemungkinan DAP bersikap terburu-buru dalam membuat keputusan, Kit Siang segera menafikannya dan enggan mengulas lanjut.

"Saya tak rasa begitu. Saya tidak mahu komen tentang itu.

"(Tidak ada lagi perkataan PR?) PR sudah tidak wujud lagi kerana ketetapan usul muktamar Pas yang diluluskan," katanya.

Ketika diminta mengulas lanjut berkaitan Pas, Kit Siang segera menangkis soalan yang dibangkitkan pemberita dan menganggap kisah PR itu sudah tamat.

"Saya tak akan bazirkan masa dengan polemik begitu. PR sudah tidak wujud...habis cerita. Kita kena teruskan (perjuangan) dan tidak bazir masa dengan polemik.

"Harapan yang diberi rakyat telah musnah, jadi, kita kena beri harapan baharu. Inspirasi pada PRU13 untuk membawa perubahan itu masih relevan," katanya.