TAPAH - Seramai 11 banduan yang mendapat pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersyukur kepada ALLAH dan berterima kasih kepada keprihatinan sultan.

Salah seorang daripada mereka, Zulhaizam Zulkifli, 31, khabar baik itu diterima sebelum Maghrib apabila Pegawai Penjara Tapah memaklumkan dia bersama 10 rakan yang lain dibebaskan pada hari yang sama.

Menurutnya, dia turut melahirkan rasa kegembiraan berjumpa dengan tiga orang anak berusia di antara tiga tahun hingga tiga bulan, isteri serta kedua ibu bapanya.

“Ketika berada dalam penjara, banyak perkara bermanfaat kami lakukan selain memperbaiki diri.

“Kami kumpul kekuatan  untuk terus lawan di luar,” katanya ketika ditemui di pekarangan pintu masuk Penjara Tapah, malam tadi.

Dalam nada sama, Bad Latif Mansor, 49, berkata, dia dan rakannya melakukan sujud syukur apabila menerima berita pembebasan mereka.

Dia bersyukuran kepada ALLAH dan berterima kasih kepada Sultan Perak setelah menerima pemberitahuan pembebasannya bersama-sama  10 rakannya lain.

“Saya akan terus berjuang...saya ahli Pas dan penyokong PR akan berjuang dalam platform itu  malahan kehidupan akan diteruskan.

"Terima kasih kepada kakitangan Penjara Kajang dan Tapah kerana layan dengan baik walaupun ada kalanya kami tertekan namun penjara tetap penjara, kami tetap lalui,” katanya.

Bad Latif memberitahu, dia dan  10 rakannya yang lain turut bergaul dengan banduan lain selain mengenali mereka selain banyak dapat pelajari.

Katanya, dia dan juga rakannya tidak melepaskan peluang untuk mendalami ilmu agama selain bertadarus bersama-sama ketika berada di dalam penjara selama tga bulan,” katanya.