Jumaat, 26 Jun 2015

Kes Mara: Jika benar dakwaan, kena segera pecat




Nasrudin Hassan Nasrudin Hassan Tantawi 
 
 
SHAH ALAM - Pas menggesa kerajaan supaya segera membersihkan nama negara susulan kontroversi terkini membabitkan kes Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memulihkan kepercayaan dunia kepada Malaysia.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, Malaysia yang dikenali sebagai sebuah negara Islam contoh perlu mengambil tindakan tegas dalam memastikan imej negara tidak terus tercemas dengan laporan berita antarabangsa berhubung skandal rasuah tersebut.

"Sekiranya dakwaan ini benar, Malaysia perlu memecat dan menghukum pihak yang terbabit dan perlu memulihkan semula kepercayaan warga asing terhadap tatacara yang dilakukan oleh pegawai-pegawai Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Akhbar Australia, 'The Age' melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa 'membida lebih tinggi' bagi bangunan itu dikenali 'Dudley International House', daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

[ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan korupsi pegawai Mara akan disiasat]

[ARTIKEL BERKAITAN:  Kes Mara: Betulkah hanya ini kes 'terlebih bayar'?]

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media semalam memaklumkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah pun menjalankan siasatan ke atas syarikat subsidiarinya, Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) telah mula disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Unit Audit Mara sejak dua bulan lepas.

Annuar berkata, proses siasatan itu dibuat kerana terdapat beberapa subsidiari Mara, termasuk Mara Inc, tidak mematuhi peraturan. Beliau berkata, tindakan penyiasatan telah pun diambil, walaupun ia tidak khusus kepada hartanah itu.

Nasrudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh turut menggesa Annuar dan CEO Mara Inc serta semua pihak yang terlibat dalam traksaksi berkenaan diarahkan bercuti sehingga siasatan selesai dijalankan. 

"Satu panel bebas dianggotai oleh ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta NGO perlu ditubuh untuk menyiasat perkara ini dengan kadar segera untuk memulihkan imej negara dan maruah rakyat Malaysia," ujarnya lagi

Tiada ulasan: