Jumaat, 26 Jun 2015

Kerajaan Selangor boleh bertahan'

MALAYSIAKINI




 
 
 
Selepas memperoleh sokongan daripada semua wakil rakyat PAS, Menteri Besar Selangor Azmin Ali hanya perlu bertemu DAP negeri itu minggu depan untuk memantapkan lagi kerajaan negeri yang sudah kukuh.

Berdasarkan keadaan semasa, Malaysiakini difahamkan kerajaan Selangor boleh dianggap kekal bersatu walaupun muktamar PAS awal bulan ini meluluskan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan DAP.

Kedua-dua parti itu adalah sebahagian daripada komponen yang membentuk kerajaan Selangor bersama PKR.

Situasi di Selangor tidak berlaku di Kelantan dan Pulau Pinang kerana kedua-dua kerajaan negeri itu menyaksikan penguasaan kukuh PAS dan DAP.

Keadaan agak berbeza di Selangor kerana ketiga-tiga parti mempunyai wakil yang hampir sama dalam kerajaan negeri.

Ketika pelbagai spekulasi dan serangan dibuat - sama ada dari luar atau dalam parti - kestabilan dalam kerajaan Selangor agak mengagumkan.

Ditanya mengenai perkembangan itu, Setiausaha Politik Azmin, Shuhaimie Shafiei (gambar) berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS dan DAP serta wakil rakyat mereka untuk mengekalkan hubungan baik yang terjalin sejak 2008.

Langkah itu, katanya, dibuat bagi memastikan kerajaan Selangor mampu terus berkhidmat kepada rakyat melalui dasar bersama ketiga-tiga parti.

"Kami tak kata kami orang tengah. Ada orang berpendapat kami perlu bertindak seperti itu," katanya.

Pertahan kestabilan

Shuhaimie menyatakan, orang paling tepat memperkatakan isu itu ialah Azmin sendiri.

"Perbincangan berlangsung selama sebulan dan kami mengadakan mesyuarat mingguan dengan wakil rakyat.

"Maklum balas daripada 60 atau 70 peratus Adun yang ditemui menteri besar, saya atau pemimpin lain dalam PKR , kami yakin kerajaan Pakatan yang diasaskan pada 2008 akan bertahan," katanya.

Isnin lalu Azmin menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dititahkan bahawa kestabilan Selangor perlu dipertahankan demi pembangunan negeri dan rakyat.

Shuhaimie berkata, di sebalik pelbagai spekulasi dalam media, Azmin tidak menghadapi masalah bekerjasama dengan semua exco dan Adun di Selangor.

Katanya, Selangor juga melantik Jawatankuasa Perjawatan yang mengadakan mesyuarat biasa dua hari selepas muktamar PAS berakhir kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Shuhaimie, jawatankuasa berkenaan adalah badan peringkat negeri yang membincangkan mengenai pelantikan politik seperti exco dan ketua kampung.

Usul Dewan Ulama PAS pula, katanya, masih belum muktamad kerana perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Syura.

"Pakatan masih boleh diselamatkan. Beri kami masa," katanya. 
 
 

Tiada ulasan: