THE RAKYAT POST
Pengerusinya, Datuk Nur
Jazlan Mohamed berkata selepas pengauditan dilakukan Deloitte yang
berakhir pada 31 Mac tahun lepas, ada 15 bulan yang memungkinkan berlaku
pelbagai acara yang memerlukan seseorang untuk mengesahkannya. - Foto
TRP/Syahirah Roslan
KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC)
hari ini mencadangkan supaya Kementerian Kewangan segera melantik firma
pengauditan bagi mengaudit penyata kewangan 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) bagi tahun berakhir 31 Mac 2015.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed
berkata berdasarkan prosiding yang dilakukan bersama Firma pengauditan
Deloitte & Co semalam, mereka hanya bertanggungjawab mengaudit
penyata akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac 2014.
“Kini sudah Jun 2015 dan sepatutnya ada
satu lagi akaun yang belum disediakan. Bila kita bertanya kepada
Deloitte semalam, mereka berkata tidak menerima arahan daripada pemegang
kepentingan iaitu MOF (Kementerian Kewangan) untuk memulakan
pengauditan.
“MOF sebagai pemegang kepentingan perlu
melaksanakan tanggungjawab untuk mula mengarahkan pihak terbabit
menjalankan pengauditan. Mereka perlu memanggil juruaudit secepat
mungkin,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat PAC di Bangunan
Parlimen hari ini.
Jelasnya,
selepas pengauditan dilakukan Deloitte yang berakhir pada 31 Mac tahun
lepas, ada 15 bulan yang memungkinkan berlaku pelbagai acara yang
memerlukan seseorang untuk mengesahkannya.
Nur Jazlan berkata sebagai sebuah
syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia dan syarikat berkaitan
kerajaan (GLC), 1MDB perlu memastikan penyata kewangan mereka sentiasa
dikemas kini.
“Kini sudah 11 Jun, hampir tiga bulan
dan sebagai syarikat senaraian awam, akaun syarikat sepatutnya dah
disediakan. Saya jangkakan menjelang 30 Jun, akaun sepatutnya sudah
sedia, namun semalam Deloitte berkata mereka tidak menerima arahan, dan
sudah pasti mereka (1MDB) tidak menyediakan akaun untuk tiga bulan itu,”
katanya.
Dalam pada itu beliau turut menyangkal
laporan media yang mengatakan pihaknya berpuas hati terhadap penjelasan
yang diberikan Deloitte dalam prosiding semalam.
“Saya tak kata kita puas hati dengan
penjelasan mereka. Tetapi bila kita tanya mereka, mereka kata ‘kami
pertahankan pengauditan kami’…maknanya mereka mempertahankan penjelasan
mereka setakat penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2014,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan