Jumaat, 26 Jun 2015

Kemelut MIC: Najib akur keputusan ROS

MALAYSIAKINI


Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Abdul Razak berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) berkenaan dengan kemelut kepimpinan MIC.

"Keputusan ROS dah disahkan Mahkamah Tinggi. Jadi saya tidak ada pilihan melainkan menerima apa juga taksiran yang dibuat RoS," kata Najib yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di ibunegara hari ini.

Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam sepucuk surat kepada setiausaha agung Jawatankuasa Kerja Pusat Interim 2009 berkata ROoS mengambil maklum Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel telah hilang keanggotaannya secara persendirian (Ipso Facto), manakala Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S Subramaniam menjalankan tugas-tugas sebagai pemangku presiden parti.

Kandungan surat itu diumumkan oleh Dr Subramaniam, dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Najib berkata beliau telah mengambil maklum mengenai surat ROS kepada MIC itu.

"Hari ini saya tengok surat dari ROS. Berdasarkan surat dari ROS itu, saya akan buat penentuan nanti," katanya.

Ditanya mengenai status Palanivel yang merupakan menteri sumber asli dan alam sekitar, beliau berkata perkara itu akan diputuskan kemudian.

"Saya tidak mahu buat apa-apa keputusan tergesa-gesa, nanti dituduh mencampuri urusan MIC.

"Saya mahu MIC sendiri tentukan kepimpinan mereka, baru saya boleh buat keputusan kemudian," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: