PUCHONG – Seorang kanak-kanak yang menghidap kanser ‘neuroblastoma’ memerlukan kos rawatan dan pembelian ubat khas yang dianggarkan mencecah RM20,000.

Siti Salwa Abdullah, 30, memberitahu, anaknya Muhammad Haris Wafiq Mohd Hawary, 5, akan menjalani pembedahan hujung bulan ini dan perlu mendapatkan rawatan susulan menggunakan ubat khas.

Katanya, pihak hospital memberitahu bayaran ubat khas yang berfungsi mematikan sel kanser perlu dilunaskan segera supaya rawatan tidak tertangguh selepas pembedahan.

"Pendapatan suami hanya RM1,200 sebulan, tak mampu nak sediakan duit untuk beli ubat," katanya yang tinggal di Jalan TK4/13, di pangsapuri kos rendah Taman Kinrara.

Menurut Siti Salwa, kira-kira RM1,000 diperuntukkan bagi kos penjagaan Muhammad Haris termasuk membeli peralatan tiub, lampin pakai buang dan kos pengangkutan ke hospital.

Segala-galanya bermula pada bulan Mac lalu selepas anaknya demam selama sebulan, sakit kaki dan timbul benjol di bahagian leher kiri.

Selepas berulang-alik ke klinik dan hospital, doktor mengesahkan Muhammad Haris menghidap kanser. Anaknya tidak dapat bergerak seperti kanak-kanak lain selain berat badan turun mendadak.

“Memang terasa gelap dunia ketika itu, anak saya hanya sempat sekolah tadika sebulan, bila kakinya dah tak boleh berjalan saya terpaksa berhentikan dia,” katanya.

Memang bukan mudah untuk dia menerima keadaan itu kerana sebelum ini anaknya l tidak pernah sakit. Selepas disahkan menghidap penyakit itu anaknya terpaksa menjalani rawatan kemoterapi selang 10 hari.

Bermula dari itu dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi memberi tumpuan khusus menjaga anak sulung daripada dua beradik itu.

Selepas menjalani beberapa rawatan kemoterapi, Muhammad Haris akhirnya boleh berjalan tetapi akan cepat berasa letih.

“Doktor kata peluang untuk anak saya sembuh antara 20 hingga 30 peratus saja tapi sebagai ibu saya harap pembedahan berjaya dan kos rawatannya dipermudahkan,” katanya.