SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menasihat Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua supaya tidak memberi tekanan kepada Mohamed Azmin Ali.
 
Dalam satu kenyataan hari ini, Muhammad berpendapat, tekanan yang diberikan kepada Azmin dalam memilih DAP atau Pas tidak mencerminkan semangat Pakatan Rakyat.
 
Sejurus itu, beliau mencadangkan supaya pimpinan tertinggi Pas dan DAP supaya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menangani konflik berkenaan.
 
"Saya ingin mencadangkan DAP supaya menarik balik kenyataan untuk memutuskan kerjasama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang," katanya hari ini.
 
"Saya juga memohon Ahli Majlis Syura Ulama dan pimpinan tertinggi Pas supaya dapat mengambil satu sikap yang dapat menyelamatkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Rakyat," tambahnya.
 
Beliau juga meminta supaya Pakatan Rakyat tidak mensia-siakan harapan rakyat Malaysia selepas diberi mandat besar oleh rakyat negeri Selangor dalam PRU13.
 
"Dalam keadaan Umno-BN sedang lemah dengan pelbagai isu yang melanda mereka, Pakatan Rakyat perlu menunjukkan contoh alternatif terbaik kepada rakyat bagi menghadapi PRU14 nanti," ujarnya.