Ahad, 14 Jun 2015

IS: Polis tahan 108 individu

SINAR HARIAN


Ahmad Zahid Hamidi Ahmad Zahid Hamidi
 
 
BAGAN DATOH - Sehingga semalam, polis menahan 108 individu yang mempunyai elemen penglibatan dalam kegiatan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata daripada jumlah itu, enam individu telahpun didakwa manakala selebihnya masih dalam siasatan polis.

"Ada antara mereka yang pulang dari Syria dan Iraq...telah ditahan oleh polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia di Kampung Simpang Empat, Rungkup di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawantankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Ahmad Zahid berkata sehingga kini, sejumlah 66 individu dari Malaysia dilapor berada di Syria dan Iraq.

"Mungkin jumlahnya lebih besar...apa yang kita peroleh setakat ini hasil daripada maklumat risikan," katanya.

Mengulas hasil lawatan rasmi beliau ke Australia ketika menghadiri 'Sidang Kemuncak Serantau bagi Menangani Ekstremisme Ganas: Cabaran Propaganda Pengganas', Ahmad Zahid berkata kerajaan Australia mengambil kira pandangan Malaysia.

"Ini adalah disebabkan komitmen kerajaan Malaysia yang serius menangani hal berkaitan keganasan yang bukan sahaja menggunakan undang-undang sedia ada serta meminda undang-undang lama selain menggubal undang-undang baharu," katanya.

Beliau berkata Australia juga memuji usaha Malaysia menangani keganasan melalui Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan pihak berkepentingan termasuk kerajaan-kerajaan, masyarakat sivil dan industri di rantau ini bagi membina kapasiti untuk menangani ancaman kumpulan ekstremis ganas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata istilah 'jihadis' yang diguna media Barat bagi merujuk kepada militan IS perlu diperbetul.

Beliau berkata istilah itu tidak tepat kerana militan IS adalah pengganas sedangkan 'jihadis' merujuk kepada pejuang jihad.

"Majlis Fatwa Kebangsaan telahpun mengeluarkan fatwa mengharamkan penglibatan orang Islam dalam militan IS," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: