THE RAKYAT POST
Seorang pengguna laman
Facebook, Rudy Rohaine memuat naik gambar ini di Facebook Sekolah Rendah
Tanjung Katong meminta "Keluarga TK" agar tabah dengan hashtag
#prayforTKPSclimbers.
KUALA LUMPUR-Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura hari ini mengumumkan lapan mayat warganya yang ditemui pihak berkuasa Malaysia telah dikenal pasti waris masing-masing sebagai enam pelajar dan seorang guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong (SRTK) serta seorang jurulatih lasak.
Mayat mangsa warga Singapura yang pertama
ditemui ialah pada lewat malam Jumaat, iaitu pelajar perempuan sekolah
rendah berkenaan berusia 12 tahun dikenali sebagai Peony Wee Ying Ping.
Mayatnya dibawa turun bersama mayat malim gunung, Robbi Sapinggi.
Manakala mayat lima lagi pelajar SRTK
telah dikenalpasti waris masing-masing ialah Ameer Ryyan Mohd Adeed
Sanjay, Emilie Giovanna Ramu, Matahom Karyl Mitzi Higuit, Rachel Ho Yann
Shiuan dan Sonia Jhala.
Sementara itu, mayat guru terbabit
disahkan sebagai Loo Jian Liang Terrence Sebastian dan jurulatih
aktiviti lasak yang mengiringi rombongan pelajar SRTK yang turut
terkorban adalah Muhammad Daanish Amran.
Semua mangsa terbabit adalah sebahagian daripada 29 peserta ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu sekolah itu.
“Operasi kini diteruskan bagi mengesan
seorang lagi pelajar Navdeep Singh Jaryal Raj Kumar serta seorang lagi
guru Mohammad Ghazi Mohamed,” kata MOE Singapura dalam kenyataan
berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, para pegawai
MOE Singapura dan beberapa kementerian lain republik itu kini berada
di Kota Kinabalu untuk memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga
terbabit dalam menghadapi detik-detik memilukan ini.
Persiapan sedang dibuat untuk membawa pulang anggota keluarga dan mayat mangsa ke Singapura secepat mungkin.
Laporan media sebelum ini menyebut bahawa
sekumpulan pelajar dari SRTK berada di Gunung Kinabalu ketika gempa
bumi itu berlaku pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, mayat Peony
Wee Ying Ping yang diterbangkan pulang dari Sabah pagi tadi dilaporkan
telah selamat tiba di Singapura.
Mayat mangsa sebelum itu dituntut dari
bilik mayat Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu oleh kedua ibu
bapanya yang datang dari Singapura.
Sementara itu, pihak SRTK telah
mewujudkan satu sudut khas di sekolah itu untuk orang ramai menzahirkan
rasa sedih serta ucapan takziah masing-masing ekoran kematian pelajar
serta guru sekolah itu dalam gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala
Richter itu.
Sudut berkenaan yang bermula hari ini akan dibuka sehingga Selasa, 9 Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan