KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan mulai Khamis 18 Jun, bersamaan 1 Ramadhan 1436 Hijrah.


Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Khamis, 18 Jun 2015 bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman tarikh permulaan puasa itu turut disiarkan menerusi televisyen tempatan.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sebelum ini menetapkan 16 Jun 2015 bersamaan 29 Syaaban 1436H untuk melihat atau cerapan anak bulan selain menyatakan beberapa tempat untuk tujuan tersebut.

Majlis Raja-Raja juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab.