SHAH ALAM – Kejatuhan saham syarikat perladangan Felda Global Ventures Holding (FGVH) sebenarnya disebabkan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM), sekaligus menepis dakwaan penyelewengan saham FGVH oleh kerajaan.

FGVH menerusi sebuah kenyataan rasmi berkata, penurunan tersebut menyebabkan keyakinan sera persepsi pelabur khusus buat pelabur yang mahukan keuntungan jangka masa pendek hilang minat terhadap saham FGV.

“Pergerakan saham FGV banyak berkait dengan trend penurunan MSM. Kejatuhan saham syarikat ini ditentukan oleh pasaran dan keyakinan persepsi pelabur.

“Pelabur yang mahukan keuntungan jangka masa pendek pasti melihat trend ini sebagai sesuatu yang tidak menarik kerana FGV pasti terkesan olehnya,” katanya seperti yang dipetik menerusi sebuah kenyataan, hari ini.

Ketua Penerangan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari, syarikat tersebut telah mengalami kerugian sehingga mencecah 65 peratus sejak penyenaraiannya di Bursa Saham Malaysia.

Kata Ahmad Fadhli seperti yang dipetik menerusi kenyataan baru-baru ini, FGVH kini dikeluarkan dari senarai 30 syarikat utama Bursa Saham Malaysia kerana harga sahamnya menjunam dan keuntungan yang ketara berkurangan bagi suku pertama tahun ini.

FGV dalam kenyataannya turut menyanggah dakwaan yang dinyatakan oleh Ahmad Fadhli.

Menurutnya lagi, saham FGV hanya digantung selama sehari dan ia dibuat atas permintaan syarikat itu sendiri.

“Prosedur penggantungan ini dibuat berikutan FGV menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoA) untuk mengambilalih 37% kepentingan dalam PT Eagle High Plantations (EHP) dan 93% hingga 95% kepentingan dalam projek gula Rajawali.

“Prosedur ini adalah standard biasa dalam Bursa Malaysia apabila sesuatu pengumuman penting berkaitan perniagaan diumumkan oleh syarikat senaraian awam. Penggantungan saham ini bukan sama sekali disebabkan harga saham menurun,” katanya lagi.