Rabu, 10 Jun 2015

Harapan Mahathir punah bersama Pak Lah, Najib

 
Kegagalan dua pengganti Dr Mahathir meneruskan beberapa projek mengingkari perjanjian mulut yang dibuat dengan beliau.


mahahtir,najib,paklah,jambatan



PETALING JAYA: Dua Perdana Menteri Malaysia bertanggungjawab mengguburkan harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat pembinaan Jambatan Bengkok direalisasi.

Menurut bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin jambatan yang merentangi Selat Tebrau itu membawa pelambangan yang penting terhadap maruah negara ini.

“Lukisan Jambatan Bengkok tergantung di suatu sudut di Galeria Perdana Langkawi di Pulau Langkawi menjadi nisan kenangan pahit dan pedih terkuburnya harapan tinggi Tun Dr. Mahathir untuk membangunkan maruah kemuliaan dan keberanian bangsa dan negara di pintu sebuah negara kecil yang sombong yang menganggap dirinya lebih kuat dan lebih besar,” tulisnya di entri blog www.zamkata.blogspot.com

Menurut Zam, rakyat akan mengenangkan Tun Abdulllah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungunjawab menguburkan jambatan maruah bangsa ini.

Jelasnya, kegagalan dua pengganti Dr Mahathir meneruskan projek berkenaan antara contoh mereka mengingkari perjanjian mulut yang dibuat dengan beliau.

Tulisan di atas adalah sebahagian coretan yang dikongsi Zainuddin atau lebih Zam dalam buku terbarunya

“Mahathir Bukan Kawan Saya”.

Katanya, dalam tulisan berkenaan ia akan menjawab tohmahan terhadap dirinya termasuk dianggap sebagai blogger yang menentang Najib dan penyokong tegar kepada Mahathir.

“Saya tidak pernah mendakwa Tun Dr.Mahathir sebagai kawan saya dan jika saya menafikannya orang tidak mahu percaya, malah dalam sengketa Mahathir- Najib sekarang, saya dilabelkan dalam blog roky’s bru sebagai Leading Anti Najib Blogger yang akan terus menyerang hingga Najib tersungkur,” luah Zam dalam buku berkenaan.

Katanya tuduhan yang dilemparkan ke atasa dirinya bukan perkara baru.

Bahkan, ia telah lama dialaminya.

“Anggapan ini sudah terlalu lama. Terpahat di hati saya hingga saat ini pertanyaan Allahyarham Presiden Pas, Ustaz Fadzil Noor yang juga merupakan rakan saya di Maktab Mahmud Alor Setar “Berapa banyakkah Mahathir dah bagi pada you,” Zam.

Dalam buku berkenaan, bekas Menteri Penerangan itu turut berkongsi pasang surut hubungannya dengan Mahathir dan adakalanya beliau dilihat sebagai penentang.

Ia termasuk usahanya mencari orang tengah dalam memulih hubungannya dengan pemimpin lain.

“Saya juga mengkritik keenganan Dr. Mahathir untuk mengadakan pertemuan damai dengan Abdullah Ahmad Badawi menjelang Hari Raya Aidilfitri Oktober 2006.

Usaha saya untuk mendapatkan orang tengah bagi mendamaikan kembali Dr. Mahahtir dengan Abdullah gagal, apabila akhbar The Star mendedahkan orang tengah ini, walaupun Ketua Pengarangnya, Datuk Wong Chong Wai menjanjikan kepada saya yang memberitahunya sebagai kawan rapat untuk tidak mendedahkannya.

“Rupa-rupanya beliau mempunyai hubungan rapat dengan orang di NST yang tidak senang dengan usaha untuk damaikan Mahathir – Abdullah,” luah Zam.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut cerita di sebalik tabir, “Mahathir Bukan Kawan Saya” mereka boleh mendapatnya di kedai-kedai buku termasuk di rangkaian MPH.

Tiada ulasan: