Jumaat, 19 Jun 2015

Hadi: Pakatan Rakyat belum berkubur

MALAYSIAKINI


 


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud dan belum berkubur biarpun rakan sekutunya DAP sudah mengisytiharkan pakatan pembangkang itu tidak lagi wujud.

Malah Abdul Hadi berkata DAP tidak berhak mengumumkan PR dibubarkan selain dengan sinis menyatakan parti berkenaan tidak memahami maksud 'Pakatan Rakyat' sehingga terburu-buru bertindak sedemikian. lapor Bernama.

"Itu kenyataan peribadi, pada saya ia merupakan kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti bukanlah (boleh dipanggil) Pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti...boleh bukalah kamus dewan apa makna Pakatan... sorang-sorang boleh dipanggil Pakatan ke? Tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya sebaik sahaja selesai kuliah Jumaat di Rusila di Marang hari ini.

Pakatan Rakyat merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Ditanya sama ada status Pakatan itu masih lagi wujud, Abdul Hadi berkata: "Ya, masih lagi wujud".

Menurutnya setakat ini PAS belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan DAP bubar Pakatan Rakyat dan PAS juga belum terima kenyataan rakan sekutunya, PKR.

"... PKR tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada...dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami dapat melalui laporan media sahaja," katanya.

Ditanya sekiranya PKR lebih menjurus memilih untuk bersama-sama DAP berbanding PAS, Hadi berkata beliau tidak akan membuat keputusan sebelum PKR keluarkan kenyataan.

"Sehingga PKR ada keluarkan kenyataan, kemudian barulah saya boleh buat keputusan. Terpulang kepada PAS dan terpulang kepada PKR. Kalau PAS tak setuju PAS boleh keluar, PKR tak setuju PKR boleh keluar. Sehingga hari ini PAS tak buat kenyataan keluar Pakatan.

"Kami sayangkan perpaduan kaum kerana mempunyai masyarakat majmuk di Malaysia. Terpulang kepada masyarakat menilai kenyataan dia (Guan Eng) tu," katanya. - Bernama


 

Tiada ulasan: