KUALA LUMPUR - Tempoh penghantaran penyata taksiran bagi syarikat wajib berdaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dilanjutkan kepada selewat-lewatnya 15 Jun tanpa sebarang penalti, kata Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata, daripada 75,000 syarikat yang layak dikenakan cukai, masih terdapat 12,000 syarikat belum menghantar penyata taksiran mereka.
  
"Selepas 15 haribulan, sistem GST ini akan mengeluarkan notis taksiran secara automatik berserta jumlah cukai yang perlu dibayar.
 
"Sekiranya notis tersebut telah dikeluarkan, agak sukar buat mereka kerana kami akan terus membawa kes ini ke mahkamah sivil," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan mengenai Pelaksanaan GST kali ketiga di sini hari ini.

Subromaniam berkata, bagi tempoh akan datang, sebarang kelewatan dalam penghantaran penyata taksiran akan dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
  
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kastam menerima 19,000 permohonan untuk pembayaran semula GST bagi bulan April, yang kebanyakannya terdiri daripada pengimport dan pengeksport.
 
Tempoh proses pembayaran semula GST di negara ini adalah antara yang paling cepat berbanding negara lain, iaitu 14 hari waktu bekerja berbanding dua bulan tempoh purata yang biasa.
  
"Sistem GST di Malaysia adalah yang terbaik di dunia serta diiktiraf oleh IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Ini menunjukkan sistem yang kita gunakan sekarang sangat efisien," katanya. - Bernama