Ahad, 21 Jun 2015

GRO leka menari dicekup

THE RAKYAT POST


GRO
Hasil risikan selama seminggu berjaya menahan 23 GRO yang terdiri daripada warga Vietnam dan empat wanita tempatan. - Foto Ihsan PDRM



KLANG:  Beberapa pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam terkedu apabila menyedari kehadiran anggota polis dalam serbuan di sebuah pub di Bandar Baru Klang, awal pagi tadi.

Operasi yang diketuai Inspektor Mohd Anuar Ibrahim dari cawangan Jabatan Siasatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Klang Utara bersama pasukan Lejang berakhir kira-kira jam 1 pagi.

Jurucakap polis berkata, ketika serbuan beberapa gadis sedang leka menari di atas pentas bagi menghiburkan pelanggannya.

Menurutnya, hasil risikan selama seminggu berjaya menahan 23 GRO yang terdiri daripada warga Vietnam dan empat wanita tempatan.

“Siasatan mendapati premis ini mula beroperasi seawal jam 6 petang dan dipercayai menggunakan gadis seksi untuk menarik pelanggan.

“Premis ini mempunyai lesen perniagaan yang telah tamat tempoh,” katanya.

Katanya, GRO yang memberikan perkhidmatan mereka akan diberikan tip dengan harga RM 80 hingga RM150.

Menurutnya, turut ditahan seorang lelaki disyaki penjaga premis.

Beberapa barang turut dirampas seperti amplifier, cakera padat, pembesar suara, resit dan wang tunai.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama dan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.
 
 

Tiada ulasan: