KUALA LUMPUR - Gara-gara isu Netbook 1Malaysia, dua ahli parlimen DAP dihalau keluar oleh Speaker ‎Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin dalam persidangan hari ini.

Teo Kok Seong (DAP-Rasah) ‎pada mulanya berdiri dan cuba mencelah ucapan penggulungan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjawab isu ditimbulkan dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Tindakannya itu dihala‎ng oleh Pandikar yang menyuruh Kok Seong duduk.

Bagaimanapun, Kok Seong tidak mempedulikan arahan Pandikar ‎tersebut walaupun disuruh berkali-kali sebelum beliau akhirnya ‎diarahkan Speaker ‎Dewan Rakyat untuk meninggalkan dewan.

Lip Lim Eng (DAP-Segambut) kemudiannya bangun untuk mempertahankan Kok Seong tetapi beliau juga diarahkan keluar dewan oleh Pandikar.

Ditemui media di lobi Parlimen selepas itu, Kok Seong berkata, peristiwa dihalau dewan merupakan hari bersejarah buat beliau.

Beliau turut mempertahankan dirinya dengan mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga perlu dihalau.

"Saya cuba minta penjelasan Tan Sri Muhyiddin mengenai Netbook 1Malaysia yang dijanjikan kepada guru-guru sebanyak 400 ribu unit. Ini bukan satu perkara yang kecil tetapi saya tidak faham kenapa Tan Sri Speaker sengaja tidak membenarkan Tan Sri Muhyiddin daripada menjawab isu tersebut.

"Apabila saya dihalau, saya rasa tidak adil. Saya langsung tidak membuat kecoh, saya hanya berdiri secara sopan untuk mohon penjelasan mengenai isu itu," katanya.

Menurut beliau, penjelasan Muhyiddin bahawa netbook tersebut tidak dihadiahkan kepada guru sebaliknya dibekalkan kepada sekolah adalah tidak boleh diterima.

"Netbook 1Malaysia dijanjikan ketika Hari Guru 2014 untuk diberikan kepada guru sebagai tanda penghargaan," katanya.

Sementara itu, Lim Eng pula mengandaikan Pandikar sedang berada dalam 'mood' yang tidak baik.

"Saya pula dihalau, saya tak tahu. Saya cuma pertahankan kawan. Mungkin Speaker 'bad mood'," katanya.