Rabu, 17 Jun 2015

Dollah Salleh salahkan gol awal Palestin

MALAYSIAKINI


 


Ketangkasan barisan pemain Palestin dengan kehadiran dua gol awal pada minit kelapan dan ke-22 dijadikan faktor kelesuan Harimau Malaya yang dibelasah 0-6 dalam aksi kumpulan A kempen kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019, malam tadi.

Mengulas prestasi skuad negara itu, jurulatih Dollah Salleh berkata, dua gol awal membuatkan pemainnya seperti hilang semangat.

"Nak bangkit semula pun tak mampu. Mereka seketika dapat menguasai permainan tetapi selepas gol ketiga, semuanya musnah.

"Separuh masa kedua, awal minit nampak bagus apabila beberapa serangan dapat dilakukan tetapi sekali lagi kita memberikan gol keempat kepada Palestin.

"Selepas itu pemain nampak sudah berputus asa," kata Dollah seperti dipetik dalam web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ditanya sama ada mahu letak jawatan, Dollah menegaskan beliau bukanlah pengecut.

"Saya tak panik, tetapi saya kecewa dengan keadaan yang ditunjukkan para pemain.

"Kalau ikutkan, memang saya nak senaraikan lebih ramai pemain muda tetapi mereka beraksi di Sukan SEA. Jadi saya hanya boleh panggil mana yang ada.

"Kita kena berubah dari segi karakter dan semuanya. Banyak yang perlu saya ubah, kita perlu buat persiapan lebih rapi selepas ini," katanya.

Palestin anggap kemenangan paling mudah

Sementara itu, Dollah menekankan separuh pemainnya mungkin akan ditukar dan perubahan perlu dilakukan selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan.

Dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Harimau Malaya menempah laluan sukar bagi meneruskan saingan selepas gagal mencatatkan kemenangan di gelanggang sendiri buat kali kedua berturut-turut.

Selepas seri (1-1) dengan Timor Leste Khamis lalu dan kekalahan melalukan (0-6) kepada Palestin, Malaysia dijangka berdepan cabaran sukar untuk menentang pasukan Emeriah Arab Bersatu dan Arab Saudi pada 3 dan 8 September ini.

Sementara itu, jurulatih Palestin, Abdel Nasser Barakat menyifatkan perlawanan itu adalah kemenangan paling mudah buat pasukannya.

"Kami memang mahu menang, tetapi kami terkejut dapat kemenangan besar. Saya tak sangka Malaysia sudah berputus asa selepas ketinggalan 3-0.

"Saya rasa mereka perlu lakukan seperti Palestin dengan menukar hampir keseluruhan pemain. Saya rasa ramai pemain muda berbakat di Malaysia," kata Abdel Nasser. 


Tiada ulasan: