KUALA LUMPUR - Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini menegaskan bahawa parti itu tidak pernah membuat pengumuman untuk menamatkan riwayat PR.

Kit Siang, bagaimanapun tidak menjelaskan parti mana yang harus dipersalahkan dalam isu tersebut.

“DAP tidak pernah membuat keputusan," katanya ringkas kepada pemberita di perkarangan Parlimen hari ini.‎

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan tindakan DAP mengumumkan penamatan PR adalah tergesa-gesa.

[ ARTIKEL BERKAITAN: PR belum mati, PKR optimis tumbangkan BN ]

Sementara menyentuh mengenai isu kerajaan Selangor Kit Siang berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.

“Itu terpulang kepada perkembangan yang akan berlaku, dan lebih baik pemimpin-pemimpin di peringkat negeri Selangor yang  membuat ulasan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah dilihat menjarakkan diri daripada menjawab spekulasi berhubung usaha Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) yang mahu menubuhkan sebuah parti baru.

Beliau dilihat tidak mahu mengesahkan sama ada parti baru itu akan membentuk satu pakatan rakyat baru yang akan menggabungkan kerjasama dengan dua lagi parti iaitu DAP dan PKR.

“Siapa yang cakap? Saya tidak melayan apa orang sangkakan?,".

“Saya masih belum berjumpa Pasma, jadi saya tidak boleh sebut ada di dalam DAP yang sudah jumpa Pasma," katanya.

Sementara itu, beliau juga dilihat tidak mahu menjelaskan kedudukan sebenar DAP dan Pas di Selangor walaupun sudah ada pihak mendesak kedua-dua parti itu berundur daripada Selangor selepas tamatnya gabungan pakatan rakyat.

“Saya belum baca itu, jadi lebih baik awak tanya Datuk Mahfuz apa ertinya (mendesak Pas dan DAP menawarkan diri daripada berundur di Selangor)?," katanya.

Malah ditanya adakah wajar pembubaran Selangor dibuat segera memandangkan politik Selangor yang semakin bercelaru, Lim bagaimanapun sekali lagi menegaskan keputusan pembubaran itu perlu diserahkan kepada Azmin.

“Saya rasa soalan itu lebih baik dijawab oleh Selangor.”