PUTRAJAYA - Pihak berkuasa Malaysia telah senarai pendekkan dalang kejadian rampasan terhadap kapal tangki, MT Orkim Harmony, milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta, 11 Jun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, segala kemungkinan akan disiasat termasuk kebarangkalian wujud hubungkait dengan kejadian rompakan laut yang lalu.

"Kita dah senarai pendekkan 'kepalanya' (dalang). Tapi ada tahapnya...kepala atas...bawah. Kita tak tahu lagi. Kewarganegaraan kita kena periksa. Pergerakannya bagaimana.

"Kita ada senarai pendekkan dalang daripada dulu sebab kes ini kita nak tengok ada tak hubungkait dengan kes-kes sebelum ini atau kes-kes kemudian. Apa-apa sahaja maklumat. Ia tidak berhenti di sini," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurutnya, fasa siasatan melibatkan anak kapal dan forensik sudah selesai namun Malaysia masih perlu menanti keputusan Vietnam untuk membawa kesemua suspek ke negara ini.

"Fasa siasatan kita dah siap. Sekarang kita kena tunggu yang lapan orang itu...itu fasa tiga. Jika dapat diekstradiksi, kita teruskan. Keterangan anak kapal, forensik semua sudah siap.

"(Paling cepat boleh bawa ke sini?) Bergantung kepada Vietnam. Jangan lupa yang pegang sekarang adalah Vietnam. Tertakluk pada mereka. Isu ini tidak timbul jika kita dapat tangkap mereka pada hari kejadian," katanya.

Menyentuh soal jenayah rentas sempadan yang berlaku di mana-mana negara, beliau memberitahu ia perlukan kerjasama semua negara jiran untuk menyelesaikan kes-kes yang berlaku.

"Kita bekerja sebagai pasukan. Ini isu antarabangsa. Melibatkan banyak negara. Bukan kita sahaja. Isu jenayah rentas sempadan, tiada negara boleh selesaikan sendiri. Perlu libatkan semua negara jiran.

"Sebab boleh jadi dalang itu berada di tempat lain. Kita tak tahu. Apa pun kita perlu siasat dengan teliti barulah kita dapat maklumat yang konklusif," katanya.

Ketika ditanya anggaran tempoh semua persoalan dapat dijawab, beliau akui tidak sabar untuk segera menyelesaikan kes tersebut.

"Saya pun nak tahu. Pegawai penyiasat dan sebagainya bekerja dengan sangat keras. Saya boleh kata, tidak mudah untuk mendapat semua maklumat-maklumat ini selain anda dilatih dengan baik," katanya.