SINAR HARIAN
 
 
SEPANG - Malaysian Airline System Bhd (MAS) menghantar surat penamatan perkhidmatan kepada 20,000 kakitangannya bermula hari ini, disusuli surat tawaran kepada 14,000 kakitangan untuk menyertai entiti baharu Malaysian Airlines Bhd (MAB).

MAB ialah entiti baharu yang ditubuhkan oleh pemegang saham utama MAS, Khazanah Nasional Bhd untuk mengambil alih kontrak, aset dan liabiliti syarikat penerbangan nasional itu dalam usaha untuk memulihkannya bagi meraih semula keuntungan.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu, Christoph Mueller dalam satu taklimat hari ini berkata, 14,000 pekerja yang menerima surat tawaran akan diberikan masa 12 hari untuk memutuskannya manakala pekerja yang memutus untuk menyertai MAB akan mula bekerja dengan entiti baharu itu bermula 1 September.
  
Menyifatkan proses penyusunan semula MAS itu sebagai "pemulihan semula yang sukar', beliau berkata model perniagaan MAB akan sebahagian besarnya komersial dengan harapan syarikat penerbangan itu akan bangkit semula menjelang 2017.
  
Penyusunan semula kapasiti termasuk penamatan perkhidmatan kakitangan, merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan 12 perkara MAS yang diumumkan Khazanah dalam usaha untuk mengekang kos. - Bernama