Selasa, 16 Jun 2015

Bantailah, saya dah tak kisah – Ahmad Maslan

 
Beliau sudah lali dikecam tetapi akan teruskan kempen penerangan kebaikan GST.


ahmad-maslan-nasi-goreng-ja



PETALING JAYA: Datuk Ahmad Maslan mengakui beliau sengaja membangkitkan sesuatu yang unik di laman sosial supaya rakyat memberi perhatian terhadap maklumat yang ingin disampaikannya.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, nasi goreng tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dimuat naik di Twitter bertujuan memberitahu kepada rakyat bahawa gas memasak, minyak masak dan bahan mentah tidak dikenakan GST.

Katanya, dia tidak kisah dikecam kerana sudah lali tetapi yang lebih mustahak baginya ialah rakyat faham dan ambil perhatian terhadap apa yang ingin disampaikan.

“Saya memang sudah banyak kena bantai, saya dah tak kisah orang nak bantai. Apabila saya buat macam itu positifnya mereka tahu, gas tak ada GST, minyak tak ada GST, barang-barang masakan tak ada GST,” katanya.

Beliau turut mengulas kutukan pengguna laman sosial terhadap gambar makanan bersama hiasan timun dan cili di dalam kuali seperti yang dimuat naik olehnya.

“Memang saya buat hiasan begitu, apa boleh buat, memang saya suka begitu. Ada yang komen itu stail Perancis,” katanya.

Gambar aksi Ahmad Maslan bersama nasi goreng dengan hirisan timun dan cili di dalam kuali dijadikan bahan jenaka dan popular di Facebook apabila ada pengguna Facebook meniru aksi beliau.

Pengguna laman sosial mengkritik Ahmad Maslan kerana gambar itu hanyalah lakonan semata-mata berdasarkan hujah seperti botol penyembur serangga yang diletakkan sebelah dapur dan cili tidak dipotong dan masih bertangkai dijadikan hiasan

“Tahap kecerdikan dan maruah menteri perlu dijaga, apa untungnya Datuk buat mcm gini? Suka tgk jadi viral dan Datuk terus ‘polular’?

“Buat apa popular dan jadi viral kalau ianya menguris perasaan rakyat, kerajaan bukan sahaja kena bagus dan baik, malah kena dilihat bagus dan baik…fikir2kanlah,” komen Yusaini Ali.

“WoW.. I like DAM.. First time saya tengok orang goreng nasi dengan timun potong macam tu. Selalunya garnish/presentation atas pinggan,” komen Solden Alap.

Tiada ulasan: