Selasa, 23 Jun 2015

Azmin Dicabar Anjur Sidang DUN Tergempar

RAKYATNEWS


alt




SHAH ALAM  – Mohamed Azmin Ali dicabar untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi menentukan sama ada beliau masih lagi mendapat sokongan majoriti sebagai Menteri Besar sekali gus menyelesaikan pergolakan yang berlaku dalam pentadbirannya ketika ini.

Cabaran itu dikemukakan oleh Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Abdul Shukor Idrus yang menyifatkan Mohamed Azmin seolah-olah gagal melaksanakan kepimpinannya di negeri ini apabila dikatakan terlalu mengambil sikap berkecuali dalam menyelesaikan pergeseran di antara Pas dan DAP.

Tegasnya, sebagai Ketua Eksekutif Negeri, beliau sepatutnya mengawal kepemimpinannya selain menyelesaikan kemelut dalaman yang berlaku di antara Pas dan DAP dengan memberikan kata putus mengenai hala tuju pentadbirannya.

“Namun, kita lihat Menteri Besar tidak berani memberikan kata putus atau membuat ketetapan tertentu untuk menyelesaikan kemelut di antara Pas dan DAP sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

“Mungkin kerana beliau (Mohamed Azmin) terlalu memikirkan kedudukannya sebagai Menteri Besar memandangkan Pas dan DAP masing-masing mendominasi kerusi DUN jika memilih menjalinkan kerjasama dengan salah satu daripada kedua-dua parti tersebut.

“Jika demikian, maka beliau (Mohamed Azmin) sepatutnya memanggil sidang DUN tergempar untuk menentukan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli dewan sebagai Menteri Besar selain memuktamadkan kerjasama di antara PKR, DAP dan Pas diteruskan atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut menegaskan, formula yang diguna pakai oleh PKR, DAP dan Pas dalam membentuk kerajaan bukan hanya tidak bertahan lama tetapi juga tidak menjanjikan apa-apa manfaat yang baik untuk rakyat.

Kegagalan kerjasama ketiga-tiga parti itu, jelasnya, mungkin kerana PKR, DAP dan Pas tidak mempu­nyai kesepakatan di antara satu sama lain selain hanya memperjuangkan agenda peribadi parti masing-ma­sing semata-mata.

“Yang terpaksa menanggung akibatnya ialah rakyat Selangor sendiri apabila banyak masalah tidak dapat diselesaikan sama ada dari segi jaminan bekalan air bersih, perumahan mampu milik dan sebagainya,” ujarnya

Tiada ulasan: