MALAYSIAKINI
Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata, polis perlu menyiasat jika
putera raja Johor bertindak menghasut melalui kenyataan berhubung hak
Johor keluar daripada Malaysia.
Abdul Aziz berkata, Putera Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim tidak
menikmati kekebalan undang-undang seperti sembilan orang Raja-Raja
Melayu.
“Dalam
apa jua kes, Peguam Negara dan pasukan polis perlu membuat pendirian
sama ada putera raja tersebut melanggar undang-undang, khususnya Akta
Hasutan 1948.
“Jabatan ini bertanggungjawab untuk menguatkuasa undang-undang dengan
adil ke atas semua rakyat; putera raja Johor tidak kebal daripada
undang-undang.
“Hanya sembilan orang raja-raja Melayu yang menikmati keistimewaan ini,
tertakluk kepada peruntukan mahkamah khas untuk raja-raja,” kata Abdul
Aziz dalam kenyataannya.
Katanya, tindakan itu perlu dilakukan dengan pantas, seperti operasi ke
atas aktivis Sabah dan Sarawak yang didakwa menghasut untuk membawa
negeri itu keluar dari persekutuan Malaysia.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Tunku Idris juga sepatutnya mengehadkan ulasan dalam ruang lintup Perlembagaan Persekutuan.
Konteks hujah
Ini kerana, ulasan Tunku Idris di Instagram dilihat mengandungi fakta
sejarah tidak tepat apabila menyebut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
dibuat pada 1946, sedangkan ia dimeterai pada 1948.
Tambahan pula, tulisan tersebut menyatakan bahawa sekiranya mana-mana
daripada syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada
Malaysia – yang hanya wujud 17 tahun kemudian pada 1963.
“Undang-undang
asas pada masa ini ialah Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah
undang-undang yang menentukan hubungan dan hak di antara negeri dan
kerajaan pusat.
“Putra Johor mungkin ada hujah tetapi dia perlu tumpukan dalam konteks dan skema Perlembagaan Persekutuan.
“Sesuatu perjanjian pada masa lalu sudah kehilangan keabsahan dan kuasa,
apabila ada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang paling agung di
tanah ini,” tegas Abdul Aziz.
Tulisan di Instagram itu adalah rentetan kepada kenyataan Menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menegur Tengku Mahkota Johor agar tidak campur tangan dalam politik.
Nazri bertindak demikian ekoran kritikan Tunku
Ismail Sultan Ibrahim ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
kerana tidak hadir dalam debat bersama bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan