Selasa, 23 Jun 2015

Amy Search perluas sekolah tahfiz

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Sekolah Tahfiz, Al-Bayan School Of Quran & Hadith akan dipindahkan ke lokasi baru yang lebih luas dan selesa di Denai Alam selepas sambutan Syawal.

Pemiliknya yang juga vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, 57, berkata ia berikutan permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk mendaftar anak mereka ke sekolah itu.

Katanya, sekolah tahfiz yang bertempat di Saujana Utama, Sungai Buloh itu kini hanya mampu memuatkan 16 pelajar.
jais amy 1
“Selagi niat baik itu ada, Allah mesti beri jalan kerana kita bermula dengan kecil dan akan berkembang menjadi lebih besar.

“Kini, kita sewa rumah untuk tempatkan pelajar tahfiz tetapi Insya Allah mereka akan dipindahkan ke lot kedai yang lebih besar dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kebenaran Pendaftaran Pusat Tahfiz di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Dalam program itu, sekolah miliknya mendapat pengiktirafan JAIS sebagai salah sebuah daripada 185 sekolah tahfiz swasta berdaftar di Selangor.

Al-Bayan School of Quran & Hadith adalah sekolah yang mengkhususkan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun hingga 15 tahun.
amy marksgort 2
Mereka diajar menghafal Al-Quran, hadis, Bahasa Arab selain diajar pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan matematik.

Amy berkata, sekolah yang dibina awal tahun lalu itu tidak perlu menunggu lama untuk mendapat kelulusan JAIS.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima respon positif daripada ibu bapa yang berpuas hati terhadap prestasi anak mereka sejak bersekolah di situ.

“Perubahan sikap pelajar sangat baik, mereka saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.

“Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah satu pengalaman untuk masa akan datang,” katanya.-NFN-


Tiada ulasan: