SINAR HARIAN
Air Asia
SEPANG - Dua syarikat penerbangan tempatan iaitu AirAsia dan Malindo
Air sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada kakitangan Malaysia
Airlines System (MAS) yang terlibat dengan pemberhentian kerja berikutan
penstrukturan semula syarikat itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkembangan
positif itu adalah kesan daripada keuntungan yang diraih jika negara
mempunyai lebih daripada satu syarikat penerbangan.
"Ini satu petunjuk baik dalam bidang penerbangan apabila kita ada banyak syarikat penerbangan yang boleh menampung keperluan kakitangan yang diberhentikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo WiFi, Malindo Mobile dan majalah Malindomag di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) di sini hari ini.
Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller berkata
jumlah sebenar kakitangan MAS yang bakal diberhentikan hanya akan
ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi, kerana ia bergantung kepada
keputusan 14,000 kakitangan syarikat penerbangan itu sama ada mahu
menerima tawaran kerja baharu daripada MAS atau sebaliknya.
Mueller berkata mengikut perancangan seramai 6,000 kakitangan MAS akan
menerima surat pemberhentian pekerja dan 14,000 lagi akan menerima surat
tawaran kerja bermula 1 Jun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy
berkata syarikat penerbangan itu menawarkan sejumlah 500 peluang
pekerjaan kepada bekas kakitangan MAS dalam pelbagai jawatan.
"Kami sudah dapat permohonan daripada kakitangan MAS untuk macam-macam
jawatan termasuk juruterbang, pramugari serta jawatan bukan teknikal
seperti pemasaran serta penjualan tiket," katanya.
Chandran berkata pada dasarnya Malindo Air mempunyai 600 kekosongan
jawatan sehingga hujung tahun ini, namun syarikat itu memberi keutamaan
kepada bekas kakitangan MAS untuk mengisinya.
"Adalah lebih baik untuk mengambil bekas kakitangan MAS kerana mereka
sememangnya mempunyai kemahiran dan pengalaman," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan