Selasa, 23 Jun 2015

Ahli Politik, pegawai kanan MARA didakwa terlibat rasuah

 
Mereka didakwa sengaja menaikkan harga pembelian hartanah di Australia sebanyak RM13 juta sebagai balasan terhadap pembelian itu.


nik,mara


PETALING JAYA: Seorang ahli politik dan pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipercayai terlibat dengan rasuah berhubung pembelian hartanah di Melbourne Australia bernilai USD22.5 juta (RM65 juta).

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berdasarkan laporan media Australia dan media tempatan.

Katanya, wujud dakwaan bahawa nilai hartanah yang dibeli di Dudley International House oleh MARA telah dinaikkan sebanyak USD4.75 juta (RM13 juta).

Menurutnya, jumlah tersebut sengaja dinaikkan dengan tujuan sebagai balasan terhadap pembelian hartanah itu.

“Wang tersebut dijanjikan sebagai yuran pengenalan dan perundingan kepada sebuah syarikat dorman di Singapura.

“Sekiranya tuduhan-tuduhan ini benar, adalah amat mengecewakan memandangkan ia melibatkan bukan sahaja wang rakyat malah reputasi MARA, sebuah institusi penting bagi masyarakat Bumiputera selama ini,” katanya menerusi kenyataan media.

Katanya, jika tuduhan tersebut tidak benar, individu terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh sebagai langkah mempertahankan nama baik mereka.

Nik Nazmi berkata, AMK mendesak agar siasatan penuh dan bebas dilakukan oleh pihak berwajib berhubung dakwaan itu?

Tiada ulasan: