BESUT - Ramai dalam kalangan ahli Pas terutama di negeri ini didakwa akan menyertai parti baharu yang bakal dilancarkan selepas hari raya, yang digerakkan oleh Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Pengerusi Pasma Negeri Terengganu, Abdul Aziz Abas mendakwa, ramai dalam kalangan penyokong dan ahli Pas termasuk di kawasan Besut menyatakan persetujuan untuk menyertai parti baharu berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, pada peringkat awal ini tidak ramai yang menyatakan pendirian masing-masing secara terbuka kerana mengambil pendirian pihak yang ke hadapan terlebih dahulu.

“Dalam keadaan sekarang biasanya orang kita, mereka mahu ada orang ke depan terlebih dahulu baru ikut, dan bilangan akan bertambah apabila pimpinan besar peringkat negara turun padang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada program Penerangan dan Perjumpaan Ahli Pasma di Markaz Tarbiah Pondok Bukit Puteri dekat Gong Kedak di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Agung Pasma Malaysia, Che Nordin Che Hussin dan ahli PKR Cabang Besut.

Abdul Aziz berkata, kehadiran hanya lebih kurang 10 orang pada perjumpaan itu tidak menggambarkan kurang sokongan terhadap usaha Pasma menubuhkan parti baharu kerana sebelum ini telah ramai yang menyatakan hasrat mereka.

Beliau turut menafikan pertemuan pada malam itu adalah untuk pengumuman keluar parti Pas beramai-ramai, sebaliknya program yang telah dirancang dalam kalangan ahli Pasma sebelum Muktamar Pas berlangsung baru-baru ini.

“Pusingan pertama program penerangan dan ceramah Pasma akan dilakukan sepanjang Ramadan ini di seluruh negeri dan selepas sambutan hari raya nanti, kepimpinan Pasma akan mengumumkan parti baru,” katanya.


Boleh bekerjasama dengan DAP

Sementara itu, Che Nordin berkata, Pasma akan menggerakkan parti baharu bagi menggantikan Pas dalam PR bagi menghadapi BN dalam PRU akan datang.

Kata beliau, parti baharu itu adalah sebuah parti agama, tetapi yang boleh bekerjasama dengan DAP mahupun PKR kerana hanya melalui kerjasama ini baru dapat menumbangkan BN.

“Sudah ramai menyatakan sokongan terhadap usaha Pasma terutama daripada golongan profesional, mahasiswa dan rakyat.

“Ramai ahli parlimen dan Adun dari parti pembangkang juga menyokong kita. Golongan profesional inilah yang digelar 'Jebon' selama ini bekerja dan merancang sehingga banyak kejayaan dicapai oleh PR dalam pilihan raya lepas,” katanya.

Pas Besut tak rasa tergugat

Sementara itu, Pas Kawasan Besut tidak melahirkan rasa bimbang dengan kewujudan parti baharu itu.

Yang Dipertuanya, Wan Azhar Ahmad berkata, Pas Kawasan Besut tidak melihat usaha Pasma mendapatkan ahli baharu khususnya daripada Pas merupakan cabaran kepada parti itu.

Menurutnya, selagi Pas berpegang kepada matlamat asal penubuhan iaitu memperjuangkan syariat Islam, selagi itulah Pas akan berdiri kukuh sejak dahulu lagi.

“Saya lihat usaha Pasma adalah yang terbaik untuk pergerakan itu serta Pas, iaitu mereka boleh memisahkan matlamat mereka dengan matlamat Pas untuk agama dan juga Pas boleh membersihkan dalaman parti itu,” katanya