Khamis, 18 Jun 2015

Ada atau tiada? Anwar pula berkias-kias

MALAYSIAKINI


 


Ketika ramai mahukan jawapan pasti berkaitan status terkini Pakatan Rakyat, pemimpin kanan PKR terus memberikan jawapan tidak jelas dan seperti mengelak-elak.

"Saya mengikuti perkembangan terkini yang telah menjejaskan gabungan formal Pakatan.

“Namun secara substance (hakikat), kerjasama antara ketiga-tiga parti di peringkat kerajaan-kerajaan negeri, dan di Parlimen demi menentang kerakusan dan ketidakadilan secara tegas terhadap kerajaan BN masih kekal diteruskan,” kata bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada penjelasan lanjut diberikan berhubung bentuk kerjasama jelas masa depan PKR, PAS dan DAP.

Malah, dalam kenyataan ringkas lima perenggan itu, Anwar hanya menggesa tumpuan diberikan di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan untuk menunjukkan kepedulian pada masalah rakyat berdasarkan dasar bersama Pakatan.

Dalam kenyataan sama, Anwar mengajak “pemimpin parti” bersama dengan NGO berganding bahu menuntut perubahan dan menolak dakwaan kerakusan kuasa dan rasuah kerajaan sedia ada.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail juga memberikan jawapan kabur bahawa gabungan politik Pakatan tidak lagi berfungsi secara formal.

Bagaimanapun, Azizah yang juga isteri Anwar, berkata semangat dan permuafakatan Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang terus kekal.

Dan atas semangat sama dan tertakluk kepada dasar bersama Pakatan, katanya, PKR akan terus memberikan sokongan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob.

Setakat ini hanya DAP mengeluarkan kenyataan jelas bahawa Pakatan tidak wujud lalu susulan keputusan muktamar PAS awal bukan ini yang memutuskan hubungan dengannya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang setakat ini masih berdiam diri manakala Majlis Syura parti Islam itu juga masih belum mengumumkan tarikh akan bersidang bagi menyelesaikan kemelut itu. 


Tiada ulasan: