Jumaat, 5 Jun 2015

89 pendaki Gunung Kinabalu masih hilang

FMT Reporters

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggerakkan 25 anggota SMART bantu mangsa


dabah_gempabumi_600


PETALING JAYA: Seramai 105 pendaki di Gunung Kinabalu dikhuatiri terperangkap selepas berlaku gempa bumi berskala 5.9 richter di negeri itu awal pagi Jumaat.

Menurut jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), sebanyak 89 pendaki lagi dilapor masih hilang dan tidak dapat dikesan.

Berikutan perkembangan yang berlaku, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggerakkan 25 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk membantu operasi berkenaan.

Timbalan Setiausaha MKN, Ogu Salim Omar berkata pasukan yang diketuai Setiausaha MKN Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah tengah hari Jumaat.

“Anggota terbabit termasuk paramedik, kejuruteraan dan penyelamat. Setakat ini tiada mangsa yang terbunuh atau tercedera dilaporkan, dan kami masih lagi menunggu perkembangan terkini,” katanya.

Beliau berkata bantuan dari segi perubatan akan dihantar ke Sabah bergantung kepada keperluan.

Menyentuh mengenai gempa bumi itu, Ogu Salim berkata MKN menerima maklumat mengenainya 15 minit selepas kejadian tersebut pada jam 7.30 pagi.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau, Sabah dengan pusat gempa terletak 16km di barat laut Ranau.

Gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.- Bernama

Tiada ulasan: