Selasa, 16 Jun 2015

15 ahli MIC digantung termasuk Timbalan Presiden

 
Penggantungan selama 12 bulan itu dibuat selepas satu notis dikeluarkan yang menyalahi Perlembagaan parti.


palanivel subramaniam MIC



KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Naib Presidennya, Datuk M. Saravanan antara 15 orang yang digantung keahliannya dalam parti berkuat kuasa serta-merta.

Dalam satu kenyataan media pada Selasa, Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata, penggantungan tersebut dibuat bagi tempoh 12 bulan.

Menurutnya, beliau bertindak demikian atas sebab satu notis bertarikh 15 Jun (Isnin) yan bertulis mahu mengadakan mesyuarat tergempar bagi ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) interim 2009-2013, dikeluarkan oleh ahli-ahli CWC itu sendiri.

“Sepatutnya, notis seperti itu hanya boleh dikeluarkan oleh Setiausaha Agung MIC sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan MIC.

“Sejurus itu, pada tarikh yang sama, saya telah mengeluarkan memo kepada semua ahli CWC interim dan pemimpin lain untuk membatalkan mesyuarat haram CWC interim tersebut dan kemukakan notis pembatalan kepada saya,” katanya dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun Palanivel berkata, mesyuarat yang dijadualkan tidak pula dibatalkan dan apa yang berlaku itu jelas menunjukkan bahawa tindakan individu-individu terbabit telah memudaratkan kepentingan MIC.

Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata surat penggantungan telah dikeluarkan semalam.

Beliau berkata, di bawah Artikel 13.2 Perlembagaan MIC, mereka tidak boleh menjalankan apa-apa hak sebagai seorang ahli parti di bawah Artikel 13.1, 13.1.1, 13.1.2, 13.1.3 dan 13.1.4.

Antara lain yang turut digantung keahliannya termasuk Datuk Seri S. K. Devamany, N. Rawisandran, Datuk R. Ganesan, Datuk M. Davendran, Datuk KRA Naidu, Datuk V. M. Panjamothy, P. Manivasagam, S. Ananthan, M. Mathuraiveran, Datuk M. Asojan, P. Shanmugan, K.R. Parthiban dan Mohana Muniandy.

Tiada ulasan: