Isnin, 22 Jun 2015

13 lanun profesional terlibat rampasan MT Orkim Harmony – APMM

THE RAKYAT POST

ORKIM HARMONY 1
Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan, bot tunda yang dipercayai digunakan baki lima suspek yang merompak kapal MT Orkim Harmony, ditemui di Batam dua hari lalu. - Foto arkib TRP/ Arif Kartono



PUTRAJAYA:  Risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapati, 13 penjenayah terlibat dalam rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, lima daripadanya beredar menggunakan bot tunda yang digunakan untuk menghampiri kapal tangki itu, manakala lapan lagi terus berada dalam kapal tangki tersebut.

Siasatan pihak berkuasa Vietnam ke atas lapan suspek itu menunjukkan, mereka berpengalaman dalam melakukan rompakan di laut, selain mahir dalam pengendalian kapal.

Beliau berkata, pelbagai alatan perhubungan, antaranya alat komunikasi satelit turut ditemui semasa mereka ditahan, ini menunjukkan mereka adalah ‘perompak profesional’ yang mempunyai rangkaian luas.

“Siasatan APMM ke atas anak kapal yang diselamatkan juga mendapati, suspek dikenali sebagai ‘Ruslan’ yang dipercayai ketua kepada kumpulan penjenayah itu, sering membuat panggilan dan bercakap menggunakan bahasa Inggeris.

“Kenyataan anak kapal memberi maklumat, rumusan dapat dibuat berhubung apa sebenarnya berlaku di atas kapal itu,” katanya yang menambah, soal siasat ke atas 22 anak kapal telah selesai.

Berhubung usaha membawa lapan suspek tersebut ke Malaysia, Ahmad Puzi berkata, APMM sudah memulakan proses ekstradisi.

Proses itu, katanya, akan mengambil sedikit masa, kerana melibatkan negara lain, tetapi beliau percaya, hubungan rapat antara negara ASEAN mungkin boleh mempermudahkan proses ekstradisi itu.

Ahmad Puzi dalam kenyataannya semalam memaklumkan, pihak berkuasa Vietnam telah mengesahkan lapan suspek itu mengaku terlibat dalam proses melarikan MT Orkim Harmony.

Lapan suspek kes kapal tangki yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21 juta itu, ditahan pihak berkuasa Vietnam pada Jumaat lalu, berhampiran Pulau Tho Chu di selatan Vietnam.

Mengenai baki suspek yang tidak menaiki MT Orkim Harmony, beliau berkata, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan, bot tunda yang dipercayai digunakan suspek untuk merompak kapal tangki itu, ditemui di Batam dua hari lalu.

“Kita telah berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia berkenaan pencarian baki lima penjenayah itu,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan MT Orkim Harmony, hari ini.

Dalam pada itu, jelasnya, APMM bercadang menempatkan anggota pasukan khas atau Special Task and Rescue Team (STAR) secara rambang di atas kapal komersial yang berdaftar di negara ini, dalam usaha meningkatkan keselamatan kapal di masa hadapan.

Kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang warga Myanmar, terputus komunikasi dengan pangkalan serta dilaporkan hilang pada jam 8.57 malam 11 Jun lalu, di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Kapal itu berjaya dikesan pada Khamis lalu, dengan nama asalnya ‘Orkim Harmony’ telah ditukar kepada ‘Kim Harmon’.

Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi Jumaat lalu dan kapal tangki itu akhirnya berlabuh di Pelabuhan Kuantan pada jam 7.30 pagi kelmarin, lewat lima jam daripada waktu ia dijadualkan tiba, disebabkan masalah enjin.

Tiada ulasan: