Nur Jazlan Mohamed
 
 

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan penubuhan Jawatankuasa Audit Bebas Lapangan KLIA2 oleh Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat pemendapan apron di lapangan terbang itu.

Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, penubuhan jawatankuasa itu membabitkan skop kecil dan dilihat tidak membawa perubahan bagi memperbaiki prestasi KLIA2 secara keseluruhan.

“PAC sebagai lembaga berkecuali siasat mengenai KLIA2 hampir setahun dan mengesyorkan beberapa perkara.

“Soal penubuhan jawatankuasa baharu hanya untuk menyiasat dalam skop kecil sahaja dan itu tidak akan bawa apa-apa kesudahan,” katanya ketika ditemui semasa mengadakan lawatan kerja bersama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Dun Kempas, semalam.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tong Lai mengumumkan nama lima anggota Jawatankuasa Audit Bebas KLIA2 bagi menyiasat isu mendapan di apron lapangan terbang berkenaan pada 11 Disember lalu.

Selain itu katanya, PAC mengemukakan laporan kepada Ketua Audit Negara dan mengesyorkan agar audit prestasi dilakukan ke atas projek lapangan terbang berkenaan, namun terpulang kepada kerajaan untuk mendengar cadangan itu.

“PAC tidak sarankan audit kewangan dilakukan kerana ia sudah dilakukan oleh firma antarabangsa. Tetapi apa salahnya MAHB (Malaysia Airport Holding Berhad) selaku syarikat dibiayai kerajaan jalankan audit prestasi,” katanya.

Dalam pada itu katanya, MAHB belum memberi jawapan memuaskan berhubung beberapa perkara dibangkitkan dalam laporan PAC.