NOR AINNA HAMZAH
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Bernama
REMBAU - Pemuda Umno mengecam kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim
Guan Eng yang dilihat secara terang-terangan memperlekehkan serta tidak
menghormati undang-undang syariah.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kenyataan yang dibuat
oleh Guan Eng itu menimbulkan kemarahan seolah-olah tidak menghormati
undang-undang yang dibentuk sebelum ini serta sensitiviti agama.
Menurutnya, pihaknya juga menuntut pendirian Pas mengenai kenyataan
tidak sensitif Guan Eng berkenaan dan pendirian yang dibuat Pas haruslah
tidak samar seperti menyatakan wujud kebebasan untuk memberikan
pandangan berbeza.
“Ini bukan pendirian parti politik, ini adalah pendirian ketua kerajaan
negeri iaitu ketua menteri bagi sebuah negeri yang ditadbir pakatan
yang mana Pas merupakan anggota pakatan tersebut.
“Apabila undang-undang Islam diperlekehkan dengan begitu nyata dan
terang sekali oleh seorang rakan kongsi pakatan (PR), rakan kongsi Pas.
Saya percaya rakyat Malaysia terutamanya umat Islam menanti-nanti
pendirian pas,” katanya pada sidang media sempena Program Rembau
Challenge di sini, semalam.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, beliau amat berdukacita dengan pandangan Guan Eng berkenaan.
Baru-baru ini, sebuah portal berita online melaporkan, Ketua Menteri
Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan, tiada larangan dikenakan terhadap
masyarakat bukan Islam di negeri itu daripada menggunakan kalimah ALLAH.
Menurutnya, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri 2004, yang
dilampirkan dalam satu fatwa berhubung perkara itu pada 2010, tidak
terpakai kepada orang bukan Islam.
“Enakmen itu hanya diguna pakai oleh masyarakat Islam, tidak oleh bukan Islam.
Jadi, tiada isu timbul,” katanya mengulas gesaan Pengerusi Biro
Keharmonian Agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker agar Pulau Pinang
membatalkan larangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan