Jumaat, 12 Disember 2014

Iskandar, Yunus banyak jasa kepada rakyat - Azmin

HARAKAHDAILY






KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah kepada dua Exco Selangor yang dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.), hari ini.

Mereka ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Iskandar Abdul Samad dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Mereka mendahului senarai 11 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) (Kelas Kedua) yang membawa gelaran ‘Datuk’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita sempena Hari Keputeraan ke-69 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Mohamed Azmin percaya pemilihan tersebut dibuat atas jasa dan khidmat yang diberikan kepada negeri dan rakyat negeri itu, lapor Selangor Kini.

“Mereka sewajarnya diberi penghormatan dan penghargaan kerana kedua-dua tokoh ini telah banyak menyumbang khidmat kepada rakyat Selangor, tahniah kepada mereka,” ucapnya ringkas ketika ditemui pemberita di Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Mengenai beliau, Azmin berkata tempoh perkhidmatan yang baru genap 80 hari sebagai terlalu awal dikurniakan pangkat darjah kebesaran.

Katanya, perkara itu tidak menjadi masalah bagi dirinya untuk terus menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Besar.

“Saya baru dua bulan,” jelasnya ketika ditanya pemberita berkenaan isu penganugerahan Darjah Kebesaran daripada Sultan Selangor yang membawa gelaran Datuk Seri.

Katanya, fokus beliau sekarang adalah menumpukan seluruh masa bekerja dan memberi khidmat terbaik untuk rakyat.

“Dalam tempoh dua bulan ini, saya lihat ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Mohamed Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 pada 23 September lalu

Tiada ulasan: