Jumaat, 25 Julai 2014

Ubah kaedah agih zakat, pegawai kena turun padang cari asnaf

tengku_zulpuri

Roketkini.com


MENTAKAB: Pusat zakat setiap negeri wajib mengubah pendekatannya dalam pengagihan zakat bagi memastikan setiap kutipan berjaya disalurkan kepada golongan asnaf, kata Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Katanya selain masalah birokrasi, punca utama pusat zakat gagal membantu golongan memerlukan ialah kerana ia tidak turun padang, sebaliknya hanya ‘menunggu’ golongan asnaf datang kepada mereka.

“Misalnya di Pahang, pengagihan zakat masih tidak menepati sasaran. Masih ada Orang Asal beragama Islam dan orang kelainan upaya (OKU) yang tidak terbela,” kata Tengku Zulpuri kepada Roketkini.

“Sebelum ini, apabila saya beritahu ada keluarga yang tidak menerima bantuan, mereka (pegawai) cakap tidak tahu. Jadi, sikap ‘menunggu’ ini perlu diubah. Pegawai kena mula turun padang mencari asnaf, bukan sekadar tunggu di pejabat.

“Buat masa ini, mereka bergantung kepada laporan ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Jadi ada pengaruh peribadi, seperti ada kes yang tak dilaporkan kerana hubungan dengan ketua kampung kurang baik, atau kaum kerabat sendiri lebih diutamakan,” kata Tengku Zulpuri yang juga Adun Mentakab..

Tambahnya, laporan demi laporan berhubung kemelaratan hidup sebahagian anggota masyarakat, termasuk yang heboh baru-baru ini, iaitu golongan miskin kota menyebabkan semakin banyak pihak mengkritik pusat kutipan zakat yang tidak melaksanakan amanah.

Di Pahang kata Tengku Zulpuri, umat Islam yang tidak membayar zakat fitrah kepada amil dilantik Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), boleh didakwa di bawah Seksyen 40 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pahang) 2013 yang membawa hukuman denda RM2,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Namun, ketika sistem kutipan zakat diperhebat seperti kaunter bayaran yang dibuka pada hujung minggu atau kaunter ‘pandu lalu’ diwujudkan, kegiatan pengagihan masih berada di takuk lama.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang DUN Pahang itu mencadangkan pusat zakat bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang giat menjalankan program kemasyarakatan.

“Badan zakat boleh turun bersama-sama NGO yang sering membantu orang miskin. Di sini misalnya, ada NGO Buddha yang ada hubungan dengan kita yang turut membantu orang Islam.

“Mereka boleh adakan pertemuan bulanan dengan NGO yang akan bentangkan laporan mengenai orang miskin. Mereka boleh gunakan maklumat itu untuk pengagihan (zakat),” ujarnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: