Isnin, 21 Julai 2014

Lindungi integriti kawasan kemalangan

 
Dunia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kesemua mayat ditemui dan diuruskan dengan penuh hormat


WP_20140719_004SEPANG: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa supaya semua pihak melindungi integriti kawasan kemalangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 dan membenarkan siasatan dijalankan dengan telus.

Menurut Liow, perbuatan menggangu kawasan kemalangan akan mengundang kepada risiko dalam siasatan yang dilakukan di kawasan kejadian.

“Halangan untuk siasatan dijalankan amatlah tidak boleh diterima kerana ia menjadi sesuatu pengkhianatan kepada mereka yang telah kehilangan nyawa.

“Kami menuntut agar semua pihak yang terlibat agar menghormati keluarga mangsa dan negara yang terlibat dalam nahas penerbangan ini,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Sama-Sama.

Tambahnya lagi, fokus utama kerajaan Malaysia buat masa ini ialah mencari pihak yang bertanggungjawab dalam serangan pesawat tersebut.

“Tujuan utama ialah kita perlu mengetahui siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan yang telah mengorbankan 298 nyawa penumpang pesawat MH17.

“Operasi pencarian mangsa juga sedang giat dijalankan dan penuntutan keadilan mestilah ditegakkan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, berhubung dengan laluan MH17, ia memang tidak pernah tersasar. Ini kerana kira-kira 400 penerbangan komersial termasuk 150 penerbangan antarabangsa merentasi Timur Ukraine setiap hari sebelum nahas.

“Laluan MH17 juga sebenarnya berada jauh 100 kilometer dari kawasan larangan penerbangan dan kita terbang di utara dan kawasan larangan ialah di kawasan selatan.

“Laluan ini juga telah diluluskan oleh Eurocontrol dan digunakan oleh beratus-ratus pesawat lain,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau mengutuk serangan ke atas MH17 dan perbuatan kejam ini perlulah dihukum dan diadili dengan sepenuhnya.

“Tindakan serangan ini tidak boleh diterima kerana MH17 ditembak dan menyebabkan banyak nyawa terkorban.” katanya.

Tiada ulasan: