Isnin, 21 Julai 2014

Kenapa harus terbang di ruang udara zon perang?

Alasan syarikat penerbangan lain juga terbang di ruang udara Ukraine tidak boleh di terima kerana keselamatan kita adalah tanggungjawab kita


SEREMBAN – Susulan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara pada hari Khamis lalu, orang ramai mempersoalkan mengapa syarikat penerbangan nasional itu memilih untuk terbang di zon ruang udara wilayah yang sememangnya diketahui sedang bergolak.

FMT membuat tinjauan di bandar Seremban dan cuba mendapatkan reaksi orang ramai berhubung kejadian yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal MH17.

Khairul NizamKhairul Nizam Kassim, 44, bertanya kenapa MAS ambil risiko dan merentasi zon perang.

“Walaupun menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh dan MAS akan rugi dari segi kos penerbangan, tetapi ia akan menjamin keselamatan penumpang.

“Sekarang siapa yang mahu dipertanggungjawabkan? Tiada ada sesiapa yang mahu mengaku menembak MH17.

“Bukankah pencegahan lebih baik?

“Pada bulan April, International Civil Aviation Organisation, telah menasihatkan agar syarikat penerbangan mempertimbangkan laluan alternatif selepas mengenalpasti kemungkinan wujudnya risiko yang serius kepada keselamatan penerbangan awam antarabangsa.

“Apakah MAS tidak peka?

“Malah kalau tidak ada mana-mana pihak memberi amaran pun, sepatutnya secara ‘common sense’ boleh fikir secara logik, kenapa ambil risiko lalu di ruang udara zon perang? tanya Khairul Nizam.

Ruang udara Ukraine dulu lain, sekarang lain

Khairul Mohamad, 31, pula berkata alasan sudah lama terbang di ruang udara berkenaan tidak boleh diterima.

“Tidak kisah berapa tahun laluan itu telah digunakan. Dulu lain sekarang lain.

“Dulu selamat, kini sejak beberapa bulan Ukraine bergolak dengan perang saudara.

“Maka sudah tentu ianya tidak selamat lagi untuk terbang di ruang udara Ukraine, lebih-lebih lagi di zon perang.

“Alasan kononnya ada banyak lagi syarikat penerbangan lain terbang di ruang udara tersebut tidak boleh di terima kerana keselamatan kita adalah tanggungjawab kita.

“Kalau dah namanya zon perang, pasti akan ada kejadian tembak menembak di sana sini, letup sana letup sini; tapi kitalah yang harus berhati-hati dan jangan lalu di zon perang.

“Pada hari Isnin, Eurocontrol, sebuah badan yang mengkordinasi semua trafik di ruang udara Eropah telah menghantar satu nota rasmi dikenali sebagai Notam, mengulangi amaran tersebut dan menasihatkan dengan tegas agar mengelak dari ruang udara tersebut,” jelas Khairul.

Terbang atas zon perang, ibarat serah nyawa

Mohamad SudhayMohamad Sudhay, 55, pula bertanya kenapa MAS lalu di ruang udara negara sedang berkonflik.

“Perang saudara di Ukraine ini bukan sehari dua, tapi dah berapa bulan.

“Terbang di atas ruang udara negara berperang ini seperti serahkan nyawa macam itu sahaja.

“Walaubagaimanapun saya menasihatkan orang ramai jangan takut penggunakan penerbangan udara.

“Ajal dan maut di tangan tuhan,” katanya.

Leong Chee Kong, 48, berharap kerajaan ambil tindakan tegas ke atas pihak yang menyebabkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal MH17 terkorban.

“Saya juga harap kerajaan siasat kenapa pada hari tersebut MH17 dikatakan membuat sedikit lencongan daripada laluan asal.

“Apakah pihak berkuasa Ukraine atau Ukraine Air Traffic Control (ATC) telah dimaklumkan terlebih dahulu sebelum lencongan itu di buat? tanya Leong.

A Vanitha Sri, 18, pula berkata pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh MH17 dan mengakibatkan orang yang tidak bersalah mati, perlu dihukum.

“Ini sangat kejam. Bayangkan berapa ramai kanak-kanak yang tidak berdosa terkorban begitu sahaja.

“Kenapa mereka (pihak yang menembak MH17) berbuat demikian?

“Macam mana boleh jadi begini?

Tiada ulasan: