Khamis, 17 Julai 2014

Ikram seru ahli ke himpunan Solidariti Gaza esok

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru semua ahli-ahlinya dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Solidariti Gaza yang akan berlangsung jam 1.30 petang esok.

Perhimpunan akan bermula dari Masjid Tabung Haji dan Masjid As-Syakirin, KLCC dan bergerak ke bangunan Kedutaan Amerika.

Perhimpunan itu adalah anjuran beberapa buah organisasi termasuk IKRAM.

"Perhimpunan ini diadakan bagi membantah sekeras-kerasnya kezaliman rejim haram Israel yang menyerang bumi Gaza dan membunuh rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa," ujar Setiausaha Agungnya, Nahar Md Nor dalam satu kenyataan.

Katanya, rumah dan bangunan penduduk Gaza hancur dan musnah akibat pengeboman yang dilakukan di kawasan penempatan rakyat Palestin.

Tambahnya, perhimpunan bagi mengutuk dan membantah tindakan pengganas Israel telah diadakan di seluruh dunia.

"IKRAM mengajak seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik untuk turun berhimpunan pada hari Jumaat ini bagi menyatakan bantahan kepada rejim Israel," katanya.

Perhimpunan itu juga, kata beliau adalah bagi menunjukkan sokongan padu rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Mari kita buktikan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin!" ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: