Isnin, 10 Februari 2014

Zahid tak patut keluar kenyataan macam penaung Perkasa

Saya minta Zahid bercakap sebagai Menteri Dalam Negeri




PETALING JAYA: PAS bertegas bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi tidak sewajarnya menganggap tawaran wang berjumlah RM1,200 untuk menampar Ahli Parlimen DAP Teresa Kok sebagai bukan satu ancaman.

Memerli kenyataan Zahid tersebut, Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz berkata Zahid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti penaung kepada Perubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

“Saya minta Zahid, rakan baik saya ni sepatutnya bercakap sebagai Menteri Dalam Negeri, bukan sebagai Penaung Perkasa, ataupun penaung kepada NGO-NGO yang agak ekstrim dan rasis ini.

“Dia mesti bercakap sebagai Menteri Dalam Negeri yang dibawahnya ialah institusi keselamatan iaitu polis yang sepatutnya memberikan jaminan keselamatan kepada semua orang tanpa mengira kaum sama ada perkara yang dilakukan seseorang itu betul atau tidak,” kata Mahfuz dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS disini hari ini.

Menurutnya lagi, jika Teresa didapati melakukan kesalahan, tindakan undang-undang harus diambil, bukan dengan membiarkan orang menampar Teresa.

“Tindakan mesti diambil melalui saluran undang-undang yang ada. Tetapi hingga hari ini tiada tindakan yang dibuat pihak polis sedangkan bagi saya soal nak mengecam orang itu mudah.

“Sedangkan, dalam (himpunan) Bersih dulu boleh pamerkan gambar-gambar orang yang dikehendaki pihak polis untuk menyerah diri. Jadi saya minta Datuk Zahid bercakap seperti menteri, bukan seperti penaung NGO-NGO yang keluarkan provokasi yang boleh timbulkan ketegangan antara kaum,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk berbuat perkara yang sama.

“Takkan nak tunggu orang pergi tampar Teresa baru nak ambil tindakan?,” katanya.

Menurutnya, beliau bimbang Menteri Dalam Negeri dan KPN sendiri dituduh sebagai dalang kepada perkara ini.

“Saya bimbang persepsi masyarakat nanti seolah-olahnya dalang kepada kumpulan NGO yang buat ugutan dan sembelih ayam ini ialah Menteri Dalam Negeri dan KPN. Jadi saya harap mereka dapat melakukan tindakan yang segera,” katanya lagi.

Baru-baru ini, sebuah badan yang menggelar sebagai “Majlis NGO Islam” menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang dapat menampar Teresa sebagai simbol kemarahan terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Mereka juga mencalit darah ayam yang disembelih ke atas kertas rentang yang terdapat gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Dewan Undangan PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata pertengkaran antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hanyalah isu yang dihangatkan oleh media arus perdana.

“Saya pasti Khalid dan Azmin akan ‘all out’ pastikan kemenangan PKR di Kajang nanti,” katanya.

Ibrahim marah

Sementara itu, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan kenyataan Mahfuz  bahawa Zahid sebagai ejen Perkasa adalah  ”kenyataan orang tidak sekolah”.

Katanya, tak hairan Mahfuz berfikiran cetek dan cakap ikut sedap.

“Sememanglah itulah kerja budak jaga trafik kapal terbang dan memang patutlah beliau kalah bertanding jawatan Naib Preaiden PAS,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga bekas ahli parlimen Pasir Mas menambah perwakilan PAS memang bijak menolak pemimpin yang riak dan tidak layak dijadikan pemimpin.

“Apa kena mengena Perkasa dengan Zahid Hamidi atas kenyataannya mengenai Teresa Kok? Orang macam ini, elok saya jawab macam ini,” katanya.

Ibrahim menasihati Mahfuz supaya lain kali beliau bercakap sebagai seorang Islam yang istiqamah, cerdik dan tidak emosi tanpa bersebab.

Tiada ulasan: