Isnin, 10 Februari 2014

Waythamoorthy: Mungkin sabotaj terhadap Najib

HAZAYANI ZAKARIA


KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan P Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib razak sedang mengalami era kejatuhan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, tindakan Waythamoorthy meletakkan jawatan memburukkan lagi imej Najib yang sedang mengalami kemerosotan.

"Peletakan jawatan ini menunjukkan berlakunya krisis kepimpinan yang menjadi indikator yang menunjukkan betapa Najib sedang mengalami era kejatuhan," kata beliau ketika dihubungi harakahdaily hari ini.

Salahuddin juga berkata, ada kemungkinan tindakan Waythamoorthy itu merupakan perancangan di peringkat dalaman BN sendiri kerana menganggap Najib mungkir janji terhadap orang India.

"Saya tidak boleh nafikan ini satu perancangan rapi di peringkat dalaman BN itu sendiri bagi mengurangkan sokongan orang India kepada kepimpinan Najib," katanya lagi.

Waythamoorthy yang juga Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia dilaporkan menghantar surat peletakan jawatan bagi jawatan timbalan menteri dan senator kepada Perdana Najib tengah hari tadi.

Tambah Salahuddin lagi, tindakan Wathamoorthy dijangka akan menjejaskan sokongan Orang India kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, 23 Mac ini.

"Keputusan ini sudah pasti akan mempengaruhi keputusan PRK Kajang.

"Di saat Najib dalam usaha mendapatkan sokongan orang India tetapi dari segi moral, Orang India merasakan tiada apa-apa tindakan Najib yang membela kaum India. Ini sudah pasti akan menjejaskan undi mereka dalam PRK Kajang," katanya.

Wathamoorthy sebelum ini mendakwa BN tidak menunaikan janji yang dibuat kepada kaum India walaupun memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.

Tiada ulasan: