PRK Kajang


SEGAMAT – Wanita PKR Johor akan menghantar jentera untuk turut serta dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang bermula hari penamaan calon sehingga hari pengundian, Mac depan.

Ketuanya, Natrah Ismail berkata, mereka terlibat semasa PRK Dun Kajang merupakan pemimpin daripada Majlis Pimpinan Wanita Negeri Johor (MPWNJ).

“Kita tidak mahu terlalu ramai pergi ke Kajang, sebab bila terlalu ramai akan timbul pelbagai masalah seperti penginapan. Tambahan pula, pimpinan Wanita PKR negeri lain akan turut menghantar wakil termasuk dari Sabah dan Sarawak.

“Paling ramai, kita akan hantar 20 ahli Wanita PKR sahaja. Saya juga sudah terangkan kepada mereka, ini merupakan simulasi dan keadaan sebenar yang akan mereka hadapi bermula daripada tarikh penamaan calon pada 11 Mac hingga hari pengundian pada 27 Mac,” katanya di Pejabat PKR Cabang Sekijang, semalam.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sekijang, Yoong Thau dan Ketua Cabang PKR Labis, Pang Yock Tong.

Natrah berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita Negeri Johor juga dibentuk dan kumpulan itu sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR yang juga Adun Taman Medan Selangor, Haniza Talha.

Katanya, melalui jawatankuasa itu, mereka terlibat diberi pendedahan, pemahaman serta kursus berterusan agar sentiasa bersedia untuk digerakkan terutama apabila berlaku PRK.

“Mengenai keputusan PR meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon, ia keputusan tepat kerana saya tidak melihat calon lain yang lebih layak untuk bertanding.

“Mengenai isu beliau hendak jadi menteri besar, kita tidak pernah dengar beliau menyebut mengenainya. Isu ini dicipta untuk melaga ahli parti komponen Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Beliau meminta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi sama ada mengenai isu mengenai Anwar menjadi calon dan menteri besar kerana keputusan berkenaan sudah dikaji golongan pemikir PR serta PKR.