M. Saravanan M. Saravanan


SHAH ALAM - Tidak salah BN meletakkan calon dari Umno bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang sekiranya mampu memberi kemenangan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, MCA perlu terbuka menerima keputusan itu walaupun tradisinya kerusi Dun Kajang milik parti itu.

"Secara peribadi saya setuju jika Umno meletakkan calon berwibawa, dikenali, popular dan tidak kira Melayu atau Cina, asalkan masih dalam BN.

“Kita kena ambil kira ini adalah pertempuran. Jadi memang kena ada tolak ansur. Sekiranya calon dari Umno boleh menang, maka MCA patut tolak ansur,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong supaya BN mengubah formula memilih calon walaupun ia merupakan kerusi MCA bagi membolehkan BN menawan kawasan itu kerana ia ada lebih 40 peratus pengundi Melayu.

Bagaimanapun, kata Sohaimi, adalah lebih baik jika diadakan perbincangan oleh Majlis Tertinggi BN untuk memutuskan calon.

“Dengan adanya perbincangan khusus, hasilnya akan berkesan. Bukannya hanya membuat spekulasi calon mana untuk diletakkan.

“Tetapi daripada segi sokongan, mana-mana calon yang pilih pihak tertinggi akan kita sokong,” ujarnya.

Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan berkata pihaknya akan menyokong calon yang diputuskan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.